[VIDEO] Lagi kes kedai mamak pengotor, selamba cef gaul ayam atas jalan tar di Klang


  • Tular
  • Rabu, 11 Jan 2023

Tangkap layar seorang lelaki dipercayai tukang masak sebuah restoran dilihat menggaul adunan ayam di atas jalan tar.

SEBUAH restoran nasi kandar terkemuka di Klang, Selangor didakwa gagal mengekalkan tahap kebersihan makanan apabila dilihat menyediakan bahan masakan di atas jalan tar baru-baru ini.

Tindakan seorang lelaki dipercayai tukang masak yang menggaul adunan ayam di situ mengundang rasa jijik warganet apabila menggunakan bekas masakan kotor selain menyediakan makanan di kawasan yang tidak sesuai.

Tidak dinafikan hidangan ayam goreng sentiasa menjadi tarikan utama di setiap restoran nasi kandar namun, cara penyediaan di kedai mamak terbabit nyata mengundang perhatian warganet yang rata-ratanya sudah serik dengan insiden berkenaan.

Rakaman itu dikongsikan di laman TikTok dan hangat diperkatakan sejak Selasa.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu sebuah kedai makan di Pandan Indah, Kuala Lumpur diarah tutup selama 14 hari dan dikenakan kompaun susulan video tular seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di premis berkenaan.

Enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis berkenaan kerana gagal mengekalkan aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

Belum reda dengan kes tersebut, warganet kembali dihidangkan dengan berita serupa dengan kejadian kali ini berlaku di Klang, Selangor.

Nurul Sairah yang meluahkan pandangan berkata, kebelakangan ini isu kedai makan kotor semakin berleluasa dan tidak boleh dipandang remeh lagi.

"Sejak kebelakangan ini memang banyak kes kedai makan pengotor, depan nampak cantik tapi di belakang masak bukan main kotor, kita tak boleh makan di sembarangan restoran lagi dah lepas ini," katanya.

"Ini namanya ayam goreng atas tar, itu la yang sedap bagi orang makan tapi dia gaul atas jalan rupanya," ujar Amir Haris89.

"Adoi kedai mamak lagi, harap pihak berkuasa lebih peka la dengan isu macam ini, biar viral video kasi semua pihak tahu," tambah Fatin Abudzar.

Belum ada sebarang maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung rakaman tersebut dan premis itu difahamkan masih beroperasi seperti biasa sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram