GARA-GARA gagal melakukan transaksi pembayaran barangan yang dibeli, tiga individu bertindak ganas menyerang penjaga kaunter di sebuah pasar raya baru-baru ini.
Difahamkan, mereka berang selepas mesin kad kredit gagal berfungsi di Eleganza Gourmet Deli, di New York, Amerika Syarikat (AS).
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Rabu minggu lepas itu, salah seorang suspek dilihat mengambil sebilah pisau di kaunter ketika pekerja terbabit meminta wang tunai daripada mereka untuk meneruskan pembayaran.
Tidak lama kemudian, kesemua suspek dilihat bukan sahaja membaling rak makanan ringan, malah turut melempar barangan yang ada di dalam premis, termasuk pisau ke arah pekerja terbabit.
Video mengenai keganasan itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan, sebelum tular sejak Isnin.
Menurut polis, tiada individu mengalami kecederaan dalam insiden itu.
Sementara itu, polis masih lagi memburu ketiga-tiga suspek terbabit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram