
SEPASANG kekasih warga tempatan yang disyaki terlibat menyeludup dan mengedar dadah di daerah ini ditahan di sebuah hotel bajet di Kuantan, Pahang pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun dan teman wanitanya yang berumur 23 tahun itu ditahan sekitar Kuantan pukul 12.30 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang.
Wan Mohd Zahari berkata, tangkapan berkenaan membawa polis ke bilik sewa suspek di sebuah rumah di Panching, Kuantan dan menemukan dadah disyaki jenis ganja dengan anggaran berat 1.9 kilogram selain 279.1 gram (g) dadah jenis syabu dan 14.35 g pil yaba, dengan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM41,635.
"Jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 1,525 penagih dan kedua-dua suspek yang menganggur ini dipercayai mula aktif melakukan kegiatan itu awal tahun lepas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang pada Rabu yang turut dihadiri Ketua JSJN Pahang Supt Azmi Awang Lah.
Polis turut merampas sepucuk pistol model Zoraki M906-TD bersama kelopak, lima butir peluru dan sepasang sarung tangan di rumah itu, selain menyita kereta Proton Iriz bernilai RM32,800 dan wang tunai RM1,000 milik sindiket itu.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata, polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan ahli sindiket lain.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang negatif ujian saringan urin itu kini direman tujuh hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seskyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram