Calon PH tag Radzi Jidin di Twitter, PPj segera selesai isu kipas 'berkerak'


  • Tular
  • Selasa, 10 Jan 2023

Pekerja PPj dilihat membersihkan kipas kotor yang dilaporkan oleh Noraishah pada Selasa.

BUKAN sekali dua rakyat menjadikan medium media sosial sebagai medan untuk meluahkan permasalahan di kawasan setempat.

Manakan tidak, media sosial kini menjadi platform yang sangat popular untuk dimanfaatkan khususnya dalam kalangan orang awam bagi menyatakan apa sahaja pandangan mereka terhadap isu-isu di dalam mahupun luar negara.

Ciri-ciri media sosial yang mudah diakses tidak kira di mana berada selain tiada sebarang caj menjadikannya begitu 'mesra pengguna' untuk sesiapa sahaja bebas menyuarakan pendapat atau meluahkan masalah yang terjadi di kawasan masing-masing.

Malah ada yang secara terus menyebut ahli parlimen atau ahli politik kawasan masing-masing untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Terbaharu seorang wanita, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz menggunakan laman Twitter peribadinya untuk meminta Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin agar pihak yang terbabit mengambil tindakan memembersihkan kipas di salah sebuah premis makanan di Presint 9, Putrajaya.

Noraishah yang juga calon lawan Radzi Jidin dalam pertandingan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, mahu Bekas Menteri Pendidikan itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di pusat pentadbiran kerajaan itu dengan lebih berkesan.

"Assalamualaikum Ahli Parlimen P125 @RadziJidin. Saya terima aduan dan keluhan warga Putrajaya yang bertembung dengan saya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pagi tadi (Isnin). Harap YB dapat cuci kipas di tempat makan marhaen Presint 9 secepatnya. Terima kasih di atas keprihatinan tuan," ciapnya.

54cd8b6e-185c-42fd-9c43-0a7d8dbf51be

Noraishah menggunakan laman Twitter peribadinya untuk meminta Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin agar pihak yang terbabit mengambil tindakan memembersihkan kipas di salah sebuah premis makanan di Presint 9, Putrajaya.

Dalam pautan gambar tersebut menunjukkan beberapa kipas di kawasan premis makanan berkenaan kotor dan penuh dengan debu bewarna kehitaman.

Melalui tinjauan Majoriti, ciapan itu dibuat pada pukul 9:39 malam Isnin sebelum Pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) segera membersihkan kipas berkenaan pada pukul 11 pagi Selasa.

Noraishah turut mengucapkan terima kasih di atas tindakan pantas yang dibuat PPj.

Selepas ciapan itu dimuat naik, ramai warga Twitter meluahkan masalah berbangkit lain kepada Noraishah untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan

Ini kerana mereka melihat Noraishah dapat menjadi 'saluran' untuk menyuarakan masalah kepada pihak atasan untuk masalah itu diselesaikan.

Antaranya ialah bas perkhidmatan bas laluan dalam Putrajaya, Nadiputra yang tidak mengikut jadual ditetapkan.

Pada masa sama, seorang pengguna, Mazri Afandi turut mengutarakan pendapat tentang isu kadar sewaan premis di bawah kelolaan PPj.

"Dr, ini hal kecil saja. Sepatutnya mohon MP address issue kadar sewaan premis under PPj. Surau di situ, memang kecil. YB DRJ boleh buat lawatan pada semua tempat makan marhaen di Putrajaya untuk tengok sendiri keadaannya. Ada kemudahan tapi mungkin perlu upgrade," katanya.

Setakat berita ini ditulis, ciapan Noraishah sudah diulang kicau sebanyak 450 kali dan 1,423 tanda suka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram