TINDAKAN seorang pemandu 'golongan kayangan" yang didapati tidak membayar tol akhirnya membawa padah apabila ditahan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Kuala Lumpur pada Isnin.
Lebih mengejutkan lagi, siasatan awal pihak pengendali lebuh raya Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) mendapati wanita yang memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz A itu didapati tidak membayar tol sebanyak 45 kali.
Perkara tersebut menjadi tular selepas Prolintas menerusi hantaran Twitter memaklumkan perkara tersebut.
"Lagi pengguna culas bayar tol ditahan. Kereta mewah 45 kali culas tol, ditahan. Dah 2023 perangai masih tidak berubah," ciapnya.
Difahamkan, wanita berkenaan mempunyai tunggakan sebanyak RM275.65 dan menurut Prolintas, wanita itu setuju untuk membayar untuk semua bayaran tol yang dia cuba elak sebelum ini.
Prolintas turut menasihati orang awam agar tidak bertindak seperti demikian dan pentingkan diri sendiri.
"Jadikan ini iktibar ya, jangan tiru aksi tak bermoral ni, anda bukan saja menceroboh, perbuatan ini juga membahayakan kenderaan lain," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Twitter mengecam tindakan wanita berkenaan.
Seorang pengguna, @fikriismail98 berasakan perangai wanita berkenaan memalukan dan kedekut.
"Eee busuk perangai harap saja pakai kereta mahal duit tol pun tak mampu bayar. Sedihnya lahai hidup dia tak malu," katanya.
Manakala @ikmal pula meminta pihak berkuasa untuk mengenakan denda yang lebih berat pada pemandu kereta mewah berkenaan.
"Tolong ambil tindakan dan kenakan denda yang lebih berat. Orang seperti ini tidak serik kalau hanya bayar saman. Geram pula, aku yang miskin ini pun bayar tol hari- hari," kata @anne.
Untuk makluman ramai, orang awam yang didapati bersalah menceroboh dengan tidak membayar tol boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 jika didapati bersalah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram