2023 akan menjadi tahun yang mencabar bagi kebanyakan ekonomi yang membangun, termasuk Malaysia, berlatarbelakangkan ramalan pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan, dan mungkin juga jangka panjang.
Meskipun prospek pertumbuhan domestik Malaysia akan berterusan positif, prospek ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik mungkin akan memberi impak kepada negara perdagangan terbuka seperti Malaysia, menerusi satu kaedah atau sebagainya.
Saya telah lama percaya bahawa kaedah buat Malaysia untuk terus mara ke hadapan adalah dengan mendepani cabaran ini, menerusi penglibatan yang lebih kukuh antara 660 juta penduduk di rantau ASEAN.
Rantau ini bukan sahaja merupakan pasaran besar yang terletak di lokasi strategik, malah berpotensi untuk terus kukuh meskipun wujudnya cabaran luar.
Semasa Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2022 pada Oktober lalu, saya ada menyebut bahawa ASEAN perlu berusaha ke arah mengukuhkan rantaian bekalan intra-ASEAN, terutamanya bagi keselamatan makanan dan tenaga.
Ketika ini, ASEAN sangat kurang digunakan sebagai platform, namun boleh muncul sebagai kuasa penggerak bagi menyediakan kestabilan dan kemakmuran untuk orang ramai.
Oleh itu, tepat masanya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membuat lawatan rasmi pertamanya ke luar negara di Indonesia, yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada persinggahan yang sangat produktif ini.
Saya telah lama merasakan bahawa Indonesia, dengan populasi 280 juta penduduknya memberi peranan sangat penting untuk 'strategi ASEAN' bagi mana-mana perniagaan atau negara termasuk Malaysia.
Malaysia dan Indonesia boleh diibaratkan seperti 'Hubungan Istimewa' ASEAN. Kita terikat dengan hubungan sejarah, budaya, kulinari dan linguistik yang berusia ribuan tahun.
Tetapi, Indonesia juga penting kepada Malaysia dalam masa nyata (real time). Ia adalah rakan kongsi dagangan kedua terbesar kami dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar dalam ASEAN.
Jumlah dagangan adalah lebih kurang AS$23.8 bilion pada 2021 yakni pertumbuhan 45.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2020.
Dengan pembukaan semula sempadan kita pada 2022, jumlah dagangan mungkin akan melebihi 30 peratus pertumbuhan tahun ke tahun.
Dari Januari hingga November 2022, perdagangan dua hala kita sudah melebihi AS$27 bilion, yang mana nilainya meningkat 33 peratus berbanding 2021.
Bagi meneruskan hubungan ini dengan lebih jauh, sudah tiba masanya penggubal dasar kedua-dua negara diselaraskan bagi mengenal pasti industri penting dan kritikal yang boleh diukur.
Oleh itu, dalam lawatan dua hari itu, Perdana Menteri kita melakukan sembilan perjanjian persefahaman (MoU) pertukaran antara syarikat Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai sektor. Mou terbabit (termasuk dua agensi di bawah MITI) mewakili nilai terkumpul sebanyak RM1.66 bilion.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus turut serta dalam KMF 2022. — KMF
Saya juga berbesar hati untuk menyerahkan 11 Letter of Intent (LoI) atau Surat Minat daripada syarikat-syarikat Malaysia kepada ketua pihak berkuasa, Bambang Susantono yang menyelia Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara, di Kalimantan Timur.
LoI ini merupakan sokongan Malaysia kepada usaha penting ini yang menjadi matlamat jangka panjang Indonesia, untuk mengurangkan beban Jakarta sebagai ibu negara dan mengalihkan pembangunan merentasi kepulauan, khususnya di wilayah timurnya yang kaya dengan sumber.
Semasa lawatan rasmi itu, jelas terdapat kemesraan, kepercayaan dan keakraban bersama, bukan sahaja kerajaan kepada kerajaan tetapi juga peringkat perniagaan kepada perniagaan dan rakyat kepada rakyat, yang kini mesti kita manfaatkan bagi membentuk masa depan ASEAN yang lebih berdaya tahan bersama.
Sebagai permulaan, komitmen untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan adalah penting. Ia bukan sahaja di peringkat negara, tetapi juga antara negeri-negeri di Malaysia dan wilayah Indonesia.
Ini juga memudahkan peluang untuk mengenal pasti dan mengeksport oleh Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) peringkat pertengahan Malaysia dan Indonesia, yang merupakan enjin berkuasa bagi perkembangan ekonomi.
Pelaksanaan itu akan memastikan pertumbuhan adalah inklusif, dinikmati di luar Jakarta dan Kuala Lumpur, serta tidak terhad kepada pemain korporat besar.
Antara panel hadir ketika KMF 2022. — KMF
Semua ini dan banyak lagi dilakukan untuk perbincangan lanjut ketika pertemuan dengan rakan sejawatan saya, yang sudah menjadi sahabat saya selama ini.
Malah, ramai yang pernah saya temui semasa mengetuai bank serantau sebelum 2020.
Mereka termasuk Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhur Binsar Pandjaitan; Menteri Perusahaan Milik Negara, Eric Thohir; Menteri Perindustrian, Agus Gumiwang Kartasasmita.
Saya juga menghargai peluang untuk membincangkan hubungan istimewa Malaysia-Indonesia dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi ketika pertemuan kami.
Bukan itu sahaja, saya juga ada mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang berjanji akan meneruskan kerjasama dalam pelbagai perkara.
Salah satu daripadanya adalah keperluan untuk membentuk dan melabur masa depan bersama.
Sebagai contoh, pembangunan IKN, yang mana saya berpendapat bahawa Malaysia juga mempunyai kedudukan yang strategik penting dalam kejayaannya.
IKN akan memangkin pertumbuhan, infrastruktur dan ketersambungan (termasuk dengan Timur Asia serta Pasifik yang lebih luas) bukan sahaja untuk Indonesia Timur, tetapi juga Sabah dan Sarawak, yang akan berkongsi lokasi strategik Pulau Borneo/Kalimantan dengan bandar baharu itu.
Apa yang baik untuk nusantara turut akan menjadi baik buat Sabah dan Sarawak, dan untuk Malaysia dan Indonesia secara keseluruhan.
Jadi, sementara ibu kota baharu masih di dalam perancangan awal, ia benar-benar sesuai untuk Malaysia mencari peluang di sana - terutamanya dengan pengalaman kami dalam membangunkan Putrajaya.
Selain itu, banyak syarikat Malaysia telah berjaya dalam pelaburan di Indonesia bagi tempoh dua dekad yang lalu, termasuk dalam sektor kewangan, telekomunikasi, infrastruktur dan perladangan.
Saya mempunyai perbincangan yang baik mengenai perkara ini, ditambah dengan detik menyeronokkan iaitu 'jamming' bersama Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam Indonesia, Basuki Hadimuljono yang sudah tentu merupakan pemain dram yang baik.
Melihat ke hadapan, saya optimistik bahawa aliran pelaburan dan perdagangan merentasi sempadan dengan Indonesia akan terus berkembang.
Apa yang lebih penting, perniagaan di Indonesia boleh melihat Malaysia sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, syarikat-syarikat di Malaysia boleh mendapat manfaat daripada kerjasama berpotensi tersebut, selain memperoleh kepakaran dan pengalaman dari Indonesia.
Sesungguhnya, setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing yang harus dimanfaatkan oleh negara lain bagi membina ASEAN yang lebih berdaya tahan.
Kerjasama boleh terdiri daripada kerjasama menentang kempen anti minyak sawit, untuk membina/berkongsi kepakaran dalam sosial dan tadbir urus (ESG) dan penerokaan sumber asli bersama, serta memupuk teknologi baharu seperti infrastruktur digital dan membangunkan lebih banyak industri hiliran.
Matlamat utama ialah menjadikan ASEAN lebih kuat dan berdaya tahan. Dengan sokongan Hubungan Istimewa Indonesia-Malaysia, ASEAN boleh berkembang, aman, dan stabil meskipun wujudnya kemelesetan ekonomi global.
Seperti yang saya katakan pada KMF tahun lepas, abad Asia tidak akan wujud tanpa kekuatan negara ASEAN pada terasnya.
Dan ASEAN yang kuat memerlukan Indonesia dan Malaysia untuk bekerja bersama-sama, berganding bahu untuk membantu menjadikan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram