Dilihat terkebelakang, infrastruktur desa Sabah-Sarawak perlu sama dengan Semenanjung


  • Primer
  • Selasa, 10 Jan 2023

Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) beramah mesra dengan para pengamal media ketika hadir pada Program Sembang Santai KKDW bersama rakan strategik media 2023 pada Selasa. — Bernama

INFRASTRUKTUR desa di Semenanjung Malaysia berada di tahap memuaskan, namun ia dilihat berbeza dengan Sabah dan Sarawak, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lantaran itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan harus dipertingkatkan menyamai dengan apa yang dibangunkan di semenanjung.

Apatah lagi, kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, pertimbangan antara wilayah harus disegerakan setelah lebih 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.

Tambah beliau, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak akan membuatkan kedua-dua negeri itu mempunyai saling hubungan.

"Hubungan jalan-jalan lama ke bandar-bandar kecil dan ke kampung-kampung yang dilalui oleh Pan Borneo di kedua-dua negeri ini mesti diwujudkan.

"Perdana Menteri memberi tiga keutamaan di dalam belanjawan dan Insya-ALLAH pada 24 Februari ini, belanajawan itu akan dibentangkan di mana soal pendidikan dan keselamatan di kawasan perdesaaan antara perkara terus diberi keutamaan," katanya ketika berucap pada Majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur, dekat ibu negara pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga akan memberi tumpuan kepada isu jurang pendapatan dan kadar kemiskinan antara penduduk luar bandar, pinggir bandar dan dalam bandar.

Tambahnya, garis kemiskinan seperti yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan telah berubah berdasarkan kepada situasi ekonomi semasa dan kuasa beli pada pengguna.

Secara relatif, katanya, kemiskinan tidak hanya perlu ditumpukan di kawasan desa, tetapi pinggir bandar juga perlu diberi perhatian.

"Lebih parah lagi, kemiskinan dalam bandar itu telah meningkat. Kita melihat kemiskinan tegar dalam bandar telah menyamai kemiskinan tegar di desa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram