Anwar Ibrahim berlepas ke Jakarta, lawatan rasmi pertama sejak jadi PM


  • Primer
  • Ahad, 08 Jan 2023

Kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan serantau dan global terutama situasi di Myanmar serta usaha bersama untuk menangani diskriminasi minyak sawit. — Awani

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara jiran itu.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas kira-kira pukul 12.50 tengah hari dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lawatan ke Indonesia itu adalah lawatan rasmi pertama oleh Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas.

Perdana menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo esok yang memberi peluang kepada Kuala Lumpur dan Jakarta menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Pelbagai isu akan dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi serta potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara Nusantara, pembatasan sempadan darat dan maritim, serta pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan serantau dan global terutama situasi di Myanmar dan usaha bersama untuk menangani diskriminasi minyak sawit memandangkan Malaysia dan Indonesia merupakan pengeksport terbesar dunia.

Dalam lawatan itu, lapan memorandum persefahaman antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

Selain itu, Anwar dijadual menyampaikan satu syarahan umum mengenai "Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia" dan mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jakarta.

Pada 2021, Indonesia merupakan rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Asean dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (US$22.98 bilion).

Pada Januari hingga November 2022, Indonesia adalah rakan dagangan global keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara Asean dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus dengan jumlah RM120.26 bilion (US$27.31 bilion). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram