Sabah, Sarawak bukan lagi negeri, 'naik pangkat' berstatus wilayah, umum TPM


  • Primer
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Zahid ketika berucap di PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat.

BUKAN lagi negeri, kini berstatus wilayah. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa kedudukan Sabah dan Sarawak bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya wilayah.

Tegas beliau, keputusan itu dibuat apabila Indonesia memindahkan ibu kota mereka ke Kalimantan Timur, sekali gus menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan.

"Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat yang dihadiri seramai 2,820 perwakilan.

Ia disiarkan secara langsung di channel YouTube Umno Online.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan dengan kadar yang lebih segera.

“Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya,” katanya.

Tambah Presiden Umno itu, limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun.

“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” kata beliau.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun.

Ia adalah untuk memastikan jumlahnya lebih munasabah selain bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram