[VIDEO] Harga tepung cecah RM30 sekilo, penduduk tertekan berebut makanan demi kelangsungan hidup


  • Benua
  • Khamis, 12 Jan 2023

Penduduk merampas guni tepung daripada satu sama lain sambil terlibat dalam pergaduhan yang bertukar menjadi ganas.

RAKAMAN video tular memaparkan penduduk beberapa wilayah bergaduh kerana berebut guni berisi tepung ketika krisis ekonomi Pakistan menjadi semakin buruk sehingga rakyat sukar mendapatkan bekalan makanan, lapor DNA India pada Selasa.

Rakaman itu menunjukkan penduduk Khyber Pakhtunkhwa, Sindh dan Balochistan bergaduh untuk mendapatkan bekalan makanan ruji itu ketika tiga wilayah berkenaan berdepan kekurangan makanan yang serius sejak banjir besar melanda sebahagian besar Pakistan tahun lepas.

Individu-individu dalam klip video itu dilihat berebut guni berisi tepung, manakala pergaduhan bertukar menjadi ganas.

Dalam klip video lain pula, penduduk dilihat mengejar lori membawa bekalan tepung yang menerima subsidi kerajaan.

Beberapa laporan media menyebut beribu-ribu orang terpaksa menunggu selama berjam-jam setiap hari untuk menerima tepung bersubsidi.

Harga tepung gandum di Karachi mencecah paras tertinggi di tengah-tengah krisis ekonomi dan dijual pada harga RM3.06 bagi satu kilogram (kg).

Pada masa sama, harga satu kilogram tepung boleh mencecah antara RM28.70 hingga RM30.60 di Islamabad dan Peshawar.

Penduduk juga terpaksa menyimpan gas petroleum cecair (LPG) atau gas memasak di dalam belon plastik dan karung ketika kerajaan gagal menangani kekurangan bekalan.

Dalam beberapa video yang tular di platform media sosial, penduduk wilayah Khyber Pakhtunkhwa dilihat menyimpan gas memasak di dalam beg plastik kerana kekurangan bekalan.

Rizab tukaran wang asing negara itu turut merosot ke paras terendah sejak April 2014 pada bulan lalu apabila susut sebanyak RM1.28 bilion kepada RM25.3 bilion yang sebahagian besarnya disebabkan pembayaran balik hutang luar negara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram