TINDAKAN 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah, menyaksikan rombakan baharu dalam Kabinet Negeri.
Rombakan baharu ini juga menyaksikan beberapa Adun Umno yang menyokong Hajiji memperoleh jawatan dalam kerajaan negeri.
Ia antara lain Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya yang sebelum ini merupakan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat, kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Selain itu, Adun Sugut, Datuk James Ratib dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau) dan Datuk Yakub Khan (BN-Karambunai) antara nama yang digugurkan dalam Kabinet baharu tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa, Umno pusat akan tetap bersama kepimpinan Umno Sabah.
Presiden Umno itu berkata, Umno pusat juga akan sentiasa mendukung citra dan strategi Umno Sabah, meskipun pemimpin parti di negeri tersebut kehilangan jawatan di kerajaan negeri.
"Bung Moktar, Yakub Khan. Kedua-duanya antara yang hilang jawatan.
"Jangan risau, insyaALLAH, rezeki tidak pernah salah alamat.
"Kita mahu dukungan kita tidak berbelah bahagi kepada rakan-rakan dan Ketua Umno yang ada di sini," katanya ketika ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara pada Jumaat.
Ia disiarkan secara langsung di channel YouTube Umno Online.
Jelas Ahmad Zahid, Umno berpendirian bahawa Sabah dan Sarawak yang kini berstatus wilayah merupakan rakan politik strategik.
Justeru, katanya, sebarang pembentukan kerajaan Malaysia ketika ini dan masa hadapan akan tetap memilih untuk bersama-sama rakan politik dari Sabah dan Sarawak.
"Ini penting demi kestabilan politik di Malaysia," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram