SEBUAH butik pakaian terkemuka di pusat beli belah di ibu negara didakwa memasang kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi di bilik persalinan pengunjung.
Perkara itu hangat diperkatakan selepas beberapa rakaman di dalam bilik persalinan itu tersebar meluas di laman media dan lebih memalukan, aksi bercumbu dipercayai sepasang kekasih juga turut dirakam video tersebut.
Namun, tumpuan warganet terarah kepada tindakan butik pakaian itu yang dikatakan sengaja meletakkan kamera CCTV tersembunyi di bilik persalinan pelanggan.
Bilik itu sepatutnya menjadi ruang privasi buat pelanggan yang mencuba pakaian namun sikap sesetengah pihak yang suka mengambil kesempatan atas situasi tertentu dan nyata ia telah mengundang kemarahan ramai.
Dikongsikan di laman twitter, rakaman tersebut menerima lebih 10,000 jumlah tontonan dan turut menerima kecaman ramai.
Difahamkan, video berkenaan turut dijual dan dipromosikan secara meluas kepada orang awam menerusi laman media.
Dalam pada itu, tindakan sesetengah pelanggan yang melakukan perbuatan terkutuk di dalam bilik persalinan tersebut turut meraih perhatian warganet.
Aisyah Farhana berpendapat, kesalahan itu memang sepatutnya ditujukan kepada pihak pengurusan butik tersebut namun, tindakan sepasang kekasih yang bercumbu itu juga tidak boleh dipandang remeh.
"Pelik macam mana boleh ada kamera dalam bilik persalinan, yang pasangan kekasih itu pula ambil kesempatan buat benda tak senonoh jadi dua-dua bersalah dalam hal ini," katanya.
"Aku sebagai lelaki pun takut kalau masuk bilik persalinan baju, ini kan pula perempuan macam mana dia pasang? kenapa perangai teruk sangat cuba kalau terjadi dekat adik ataupun kakak kita," ujar Tan Sri Um FoshunX Universe.
Dalam pada itu, H&M Malaysia telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan menjalankan pemeriksaan di premis cawangan berkenaan.
"Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami dan laporan polis telah dibuat dengan siasatan sedang dijalankan.
"Kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua bilik pemasangan elektrik dan sedang berusaha untuk memastikan tiada pelanggaran keselamatan yang menjejaskan privasi pelanggan kami," kata jurucakap syarikat berkenaan.
Mengulas lanjut berhubung kes tersebut, pakar dan penganalisi jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum kita jatuhkan hukuman tertentu.
"Faktor pemakaian, individu, kamera dan premis niaga berkenaan perlu diambil kira sebelum orang ramai mula menyalahkan satu pihak sahaja.
"Kalau lihat pada individu, mungkin bukan semua yang menyedari akan kehadiran kamera itu dan mungkin juga ada pihak yang memang sengaja ingin menyebarkan aib di laman media kerana jika dilihat sudut, paparan kamera itu memang ditujukan kepada kaum wanita.
"Kalau nak kata salah H&M sekali pun, mungkin pengurusan pun tak tahu pasal rakaman itu dan ada kemungkinan pekerja premis yang berniat jahat sembunyikan kamera di situ.
"Kebanyakan yang kongsikan video itu rata-ratanya cuma nak tahu wajah dan identiti wanita tersebut, jadi mereka pun keluarkan kenyataan pernah lalui sitruasi sama di lokasi yang serupa, jadi sebaiknya jangan keluarkan kenyataan merepek dan boleh mengundang kecaman kepada premis tersebut buat masa sekarang," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, kini pihak polis sedang menjalankan siasatan dengan orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan rakaman tersebut dan tunggu sahaja laporan penuh yang bakal menyusul nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram