[VIDEO] Suami cikgu kena 'lauk' lepas dituduh culik budak sebab salah sesi sekolah


  • Tular
  • Sabtu, 07 Jan 2023

Tangkap layar seorang lelaki dipukul dan diikat selepas dituduh menculik pelajar sekolah.

SEORANG lelaki yang dituduh menculik pelajar sekolah rendah dipukul dan ditumbuk beramai-ramai penduduk kampung di Taman Lembah Bujang, Merbok, Kedah pada Khamis.

Difahamkan, kejadian itu berlaku sebaik lelaki berkenaan menghantar pelajar perempuan itu pulang ke rumah gara-gara tersilap sesi persekolahan yang sepatutnya dimasuki pada belah petang.

Risau akan keselamatan pelajar tersebut, lelaki itu yang juga merupakan suami kepada salah seorang guru di sekolah terbabit mengiringi pelajar berkenaan sehingga ke rumahnya.

Namun, situasi berubah apabila tertuduh diserbu dan dipukul beberapa orang awam yang menganggap bahawa ia merupakan kes penculikan.

Salah faham itu kemudiannya semakin berlarutan apabila lelaki berkenaan diikat dan mukanya ditumbuk beberapa kali oleh si pelaku.

Susulan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah mengesahkan bahawa ia merupakan kejadian perselisihan faham.

Berlaku salah faham di mana seorang pelajar darjah satu yang bersekolah pada sesi petang telah disalah anggap merupakan pelajar sesi pagi dan mangsa yang berusia 40 tahun itu menghantar pelajar berkenaan pulang ke rumahnya.

Namun, semasa bertemu dengan bapanya, berlaku sedikit salah faham antara mereka kerana si bapa melihat anaknya dihampiri seorang individu tidak dikenali.

Tindakan telah diambil oleh pihak polis dan mangsa serta semua si pelaku yang terlibat dalam keganasan itu telah dibawa ke Balai Polis Merbok, Kedah.

Hasil perbincangan dua belah pihak mendapati, bapa kepada pelajar tersebut jelas akan niat baik lelaki berkenaan dan kes terbabit diselesaikan secara baik.

Pihak PDRM menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi di laman media berhubung isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram