[VIDEO] Gajah liar cilok makanan ikut tingkap dapur di Gua Musang, tuan rumah cemas halau guna ubat nyamuk


  • Tular
  • Sabtu, 07 Jan 2023

Tangkap layar seekor gajah liar mengambil makanan dari tingkap dapur sebuah rumah.

KEBELAKANGAN ini kita sering dikejutkan dengan berita haiwan gajah liar yang menceroboh masuk ke kawasan perumahan.

Sebelum ini, sebuah perkampungan di Tawau, Sabah digemparkan dengan kehadiran beberapa ekor gajah yang secara tiba-tiba mengganas sehingga mengakibatkan sebuah motosikal penduduk mengalami kerosakan akibat ditendang haiwan tersebut.

Terbaharu, isu hampir serupa berlaku di Gua Musang, Kelantan, apabila seekor gajah dilihat mengintai dan mencuri makanan dari tingkap dapur sebuah rumah pada Jumaat.

Insiden itu sekali gus mendatangkan ketakutan pada tuan rumah yang langsung tidak menyangka akan kehadiran haiwan tersebut.

Dikongsikan di laman TikTok, kejadian itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 200,000 jumlah tontonan setakat ini.

Tersentak dengan situasi tersebut, seorang lelaki dipercayai tuan rumah berkenaan kemudiannya menghalau gajah itu dengan membakar ubat nyamuk.

Ada pihak berpendapat bahawa haiwan tersebut seperti dalam kelaparan dan tersesat di kawasan perumahan terbabit akibat isu penerokaan hutan yang melanda di negeri itu baru-baru ini.

Berdasarkan laporan media, penerokaan tanah secara tidak terkawal menjadi punca kemunculan gajah liar di Gua musang, Kelantan ketika ini.

Penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brook merupakan antara yang terkesan dengan situasi itu apabila tanaman pokok ubi kayu dan pisang di kawasan tersebut habis musnah dikerjakan haiwan terbabit sekali gus menyebabkan lebih 20 pekebun mengalami kerugian.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet turut meluahkan kerisauan berhubung perkara itu.

"Ini semua disebabkan penerokaan tidak terkawal yang dijalankan di kawasan hutan, kalau tak takkan gajah keluar cari makanan sendiri," kata Ahmad Faisal.

"Tuan rumah punya takut sampai guna ubat nyamuk nak halau gajah itu, siapa sangka berkesan rupanya," joyKid.

"Kesian lapar la tu sampai mencuri ikut tingkap, tapi nak berlembut pun tak boleh sebab bahaya kalau dibiarkan," tambah anizaibrahim.

Pemilik rumah terbabit turut mendakwa, pinggan mangkuk di sinki dapurnya pecah akibat gangguan gajah tersebut dan haiwan itu difahamkan beredar tidak lama kemudian.

Majoriti masih berusaha mendapatkan pemilik asal video tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram