'Dah maafkan tapi sukar untuk lupakan', respons Zahid hal 10 MP BN sign SD sokong Muhyiddin


  • Politik
  • Khamis, 12 Jan 2023

Ahmad Zahid (kiri) memaafkan MP BN yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin.

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memaafkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menandatangani akuan berkanun menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRU15.

Bagaimanapun, Pengerusi BN dan Presiden Umno itu berkata, ahli Parlimen akan terus disiasat dan dipantau.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, walaupun telah memaafkan mereka, dia tidak melupakan episod itu yang mungkin menyebabkan Umno terkeluar daripada kerajaan perpaduan.

"Saya sudah katakan dengan lantang dan jelas, saya sudah maafkan (mereka) walaupun sukar untuk saya lupakan.

"Itulah realitinya. Tetapi 30 ahli parlimen BN/Umno perlu utuh untuk membolehkan kerajaan perpaduan di Putrajaya menjadi stabil.

"Bagaimana mereka boleh menunjukkan keinsafan mereka, biarlah perwakilan Umno menganalisis dan menilai sikap mereka.

"Adalah tidak adil bagi saya untuk memutuskan (apa yang mereka patut lakukan untuk menebus kesalahan)," katanya.

Pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid berkata, 10 ahli parlimen BN, kebanyakannya daripada Umno, menandatangani SD pada masa tidak ada blok parti politik yang boleh menuntut majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Sudah tentu pada masa itu usaha dibuat untuk memastikan 10 Ahli Parlimen itu membatalkan SD mereka (untuk Muhyiddin).

"Memandangkan perkara sudah berlalu dan 10 mereka kini bersama kerajaan perpaduan... saya sudah maafkan mereka.

"Bagaimanapun, bersama majlis disiplin Umno, saya akan terus memantau pendirian mereka sekiranya mereka membuat sebarang ‘langkah’, walaupun saya yakin mereka bersama Umno dan BN dalam menyokong kerajaan perpaduan sekarang.

"Kesilapan itu berlaku pada masa yang tidak menentu. Saya tidak percaya mereka menandatangani SD untuk Muhyiddin dengan semangat berdendam.

"Pendedahan yang saya buat dalam taklimat tertutup pada Rabu adalah cara saya untuk berkongsi maklumat, kerana perwakilan Umno perlu tahu apa yang berlaku apabila kita membentuk kerajaan perpaduan. Kita mesti bergerak ke hadapan sekarang dan mengambil kesilapan sebagai pengajaran," kata Ahmad Zahid.

Pada 20 November, 10 Ahli Parlimen BN dikatakan telah menandatangani SD bagi menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ke 10.

Pada 23 November, bagaimanapun, PN kehilangan dorongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan apabila 10 Ahli Parlimen menarik balik sokongan mereka.

Umno kemudiannya menyokong pembentukan kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram