SEBUAH kawasan perumahan flat di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa dan Jabatan Imigresen pada Jumaat malam.
Penempatan itu yang dipercayai merupakan 'markas' pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak berzaman dahulu kini sudah dapat dihidu oleh pihak berkuasa dan sekali gus menyaksikan ratusan warga negara asing itu ditahan dalam operasi tersebut.
Serbuan itu yang dilakukan pada lewat malam ternyata berhasil selepas mereka tidak sempat untuk melarikan diri atau berselindung di lokasi lain.
Menempatkan lebih 3,000 warga asing yang majoritinya terdiri daripada warga Bangladesh, kebanyakan rumah di situ didiami secara beramai-ramai dengan beberapa ubah suai yang telah dijalankan sebelum ini.
Tangkapan itu sempat dirakamkan menerusi saksi kejadian dan video tular berdurasi 13 saat itu menunjukkan operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen.
Seramai 115 pegawai dan anggota Imigresen yang dibantu pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut terlibat sama dalam operasi berkenaan.
Operasi tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah Imigresen, YBhg. Datuk Sri Khairul Dzaimee bin Daud dan seramai 1,051 warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, Myanmar, Indonesia dan India diperiksa.
544 daripadanya ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen perjalanan, dokumen perjalanan tamat tempoh dan salah guna pas lawatan sosial.
Semua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram