CarSifu, FMCCAM jalin kerjasama strategik teroka peluang baharu


  • Bizz
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Anthony Loke (berdiri, tengah) menyaksikan pemeteraian MOU antara Alex Yeow, Khoo Kah Jin dan Khor Lin Yong, bersama Tony Khor (berdiri, lima dari kanan).

CARSIFU, sebuah anak syarikat milik Kumpulan Media Star (SMG) menjalinkan hubungan kerjasama dengan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) menerusi satu memorandum persefahaman (MoU).

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Alex Yeow; Setiausaha Agung Kehormat FMCCAM, Khoo Kah Jin; dan Pengarah Urusan Kumpulan ezAutoAsia, Khor Lin Yong, selain disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Turut hadir menyaksikan majlis pemeteraian itu adalah Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor; Pengerusi Kumpulan Public Gold, Datuk Wira Louis Ng Chun Hau; Penasihat eAutoGen Capital Sdn Bhd, Tan Sri Richard Koh; dan Ketua Pegawai Eksekutif eAuto Sdn Bhd, Morvin Tan.

Majlis tersebut diadakan di HXC Grand Ballroom di Plaza Pudu ICC, Jalan Kijang, dekat ibu negara pada Jumaat.

Alex Yeow berkata, MoU tersebut merupakan titik permulaan kepada perkongsian yang lebih strategik antara ketiga-tiga pihak.

"SMG merupakan salah satu organisasi media terkemuka di Malaysia dan sentiasa menjadi sumber rujukan berita yang boleh dipercayai dan maklumat terkini. FMCCAM pula berfungsi sebagai suara kepada pengedar kenderaan bermotor bebas Malaysia, menyediakan jualan dan perkhidmatan kepada pemandu dan perniagaan di Malaysia.

"Melalui kerjasama pelbagai pihak ini, CarSifu dan FMCCAM boleh memanfaatkan capaian dan ahli-ahli antara satu sama lain untuk membina ekosistem lengkap dalam semua perkara berkaitan automotif dan menyediakan penyelesaian lengkap kepada pengguna,” katanya.

Menerusi hubungan kerjasama ini juga, Alex Yeow berkata, pengedar kereta akan dapat menghubungkan perniagaan mereka dengan lebih baik ke pasaran, meningkatkan pengalaman perkhidmatan dan kepuasan pembeli kenderaan, seterusnya memberi pengalaman pembelian yang lancar kepada pengguna.

Tambah beliau, pengguna bersedia untuk menikmati platform sehenti bagi semua keperluan mereka dalam mendapatkan kereta pra-milik, mulai daripada perbandingan dan pemilihan,pemeriksaan yang boleh dipercayai dan pensijilan kualiti, insurans yang kompetitif, pinjaman dan jaminan lanjutan, pemindahan yang lancar dan banyak lagi.

"Kita boleh bersama-sama merapatkan jurang kepercayaan antara penjual dan pembeli, dan memacu masa depan industri automotif dan komuniti Malaysia ke hadapan," katanya.

Ditubuhkan pada tahun 1979, FMCCAM memberi fokus untuk memupuk keyakinan dalam kalangan pembeli, yang ingin mendapatkan kenderaan terpakai serta melindungi pengedar kereta terpakai daripada risiko berkaitan.

Sehingga kini, FMCCAM terdiri daripada sembilan ahli persatuan negeri, termasuk 3,500 ahli berdaftar daripada 5,000 pengedar kenderaan bermotor bebas di seluruh negara.

Sementara itu, Tony berkata, pasaran kereta terpakai sentiasa berkembang manakala cabaran dihadapi oleh pengedar kereta terpakai adalah berbeza.

"Firma kereta antarabangsa dengan modal yang besar, sumber lebih baik dan platform dalam talian semakin menguasai pasaran di Malaysia dan ini menjejaskan bekalan kenderaan kami.

"Bagi menangani cabaran ini, kita harus memberi tumpuan kepada menawarkan perkhidmatan berkualiti, sebelum, semasa dan selepas jualan, untuk pembangunan mampan industri kereta pra-milik.

"Saya yakin kerjasama dengan CarSifu akan membantu FMCCAM dan rakan kongsi kami meningkatkan tahap dalam perkhidmatan kami dan meluaskan capaian kami kepada lebih ramai pengguna," katanya.

Sebagai contoh, Tony berkongsi bahawa FMCCAM bekerjasama dengan e-AutoGen untuk menyediakan program jaminan lanjutan yang menarik, yang turut membantu pengedar kekal berdaya saing.

Dengan harga serendah RM298 setahun, kereta itu dilindungi dari segi kerosakan yang disebabkan oleh sistem brek, kotak gear, dan enjin sehingga 16 tahun, selagi jarak perjalanan kereta di bawah 200,000 kilometer (km).

"Dengan tawaran inovatif ini ditambah dengan kekuatan SMG sebagai kumpulan media terkemuka, kami akan dapat membina platform penyelesaian sehenti untuk pembeli.

"SMG juga akan membolehkan industri kereta pra-milik memupuk pengalaman pelanggan pengedar yang lebih telus dan akhirnya memberi pembeli jaminan yang mereka perlukan semasa membuat pembelian," tambahnya.

Turut terlibat menandatangani MoU sama adalah ezAuto Asia Sdn Bhd, platform dalam talian yang bertujuan menghubungkan semua pemegang kepentingan kereta dalam pasaran yang telusdan bebas risiko, bermula dengan pengedar kereta dan pengguna akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram