SUSULAN daripada video tular yang memaparkan sepasang kekasih berkelakuan tidak senonoh dalam komuter baru-baru ini, PT KAI Commuter Indonesia (KCI) meminta kesemua penumpangnya untuk melaporkan segera kejadian tersebut sekiranya kembali berulang.
Terdahulu, video tersebut memaparkan seorang lelaki berbaju merah duduk di sebelah pasangannya di bangku penumpang komuter tersebut.
Kedua-dua pasangan remaja itu dilihat melakukan perbuatan tidak senonoh walaupun terdapat penumpang lain yang duduk tidak jauh daripada mereka.
Tangan lelaki itu juga dilihat meraba-raba dada perempuan yang menutup badannya menggunakan hoodie di depan. Kejadian tidak sopan itu dirakam seorang lagi penumpang yang berada di tempat duduk bertentangan dan dimuat naik di akaun Twitter sehingga menjadi tular di media sosial yang lain.
Sehubungan itu, warga maya menggesa PT KCI selaku syarikat yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan awam berkenaan mengambil tindakan ke atas pasangan kekasih tersebut.
Malah ada juga pengguna mencadangkan pihak komuter untuk menyediakan satu butang amaran di setiap gerabak untuk memudahkan penumpang yang lain melaporkan kejadian serupa pada petugas komuter.
Mengambil maklum balas terhadap aduan tersebut, pihak PT KCI turut menyeru orang awam untuk melaporkan penumpang yang berkelakuan tidak sopan di dalam gerabak pada Selasa.
"Penumpang juga boleh melaporkan kes serupa menerusi mesej ke akaun Twitter @commuterline yang merupakan akaun rasmi KCI.
"Sekiranya anda melihat perbuatan maksiat, kami mohon bantuan anda untuk melaporkannya kepada pegawai yang bertugas atau anda boleh laporkan kepada kami melalui DM. Terima kasih," ciapnya pada Selasa.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan lokasi dan waktu sebenar kejadian tersebut berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram