SEORANG pemandu lori ditahan polis selepas didakwa menjadi punca kemalangan maut melibatkan enam kenderaan di susur kiri Kilometer 6.1 Lebuh Raya Persekutuan dari arah Shah Alam menghala ke Klang pada pukul 7.30 pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori melanggar lima kereta yang berhenti di susur lampu isyarat dan menyebabkan kesemua kenderaan bergerak ke hadapan berlanggar satu sama lain.
Beliau berkata, semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu datang dari arah sama dan berada di lorong susur kiri menghala ke Lebuhraya Selat Klang Utara.
Tambahnya lagi, seorang penumpang kereta di kedudukan paling belakang maut di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
"Dua penumpang dalam kenderaan sama turut dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di kepala manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.
Vijaya Rao berkata, pemandu lori itu ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Berdasarkan beberapa laporan media, pihak bomba dilaporkan berjaya mengeluarkan seorang lelaki warga Indonesia yang maut akibat tersepit di dalam kenderaan manakala dua lagi yang cedera parah telah dibawa keluar oleh orang awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram