Pemandu bas maut, 8 cedera kemalangan 3 kenderaan di Kulai


  • 112
  • Selasa, 10 Jan 2023

Keadaan bas yang terlibat kemalangan hingga mengakibatkan pemandunya maut di Kulai, Johor. — Facebook

SEORANG pemandu bas maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM32.5 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), Kulai, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.30 malam Isnin.

"Pemandu bas berusia 65 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Lapan penumpang bas turut mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu dua kenderaan lain - lori dan sebuah kereta - tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori terbabit merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya.

"Bas berkenaan yang menuju ke arah sama tidak sempat mengelak lori berkenaan dan merempuh bahagian belakangnya.

"Bas itu kemudiannya membelok ke kiri jalan, dan sebuah lagi kereta di laluan bertentangan gagal mengelak lori itu," jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, seramai 22 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat.

"Terdapat sembilan orang di dalam bas termasuk pemandu bas. Mereka yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Mayat pemandu bas yang dikenali sebagai Ismail Tapah itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram