[VIDEO] Dua beranak peniaga Satay Warisan maut bertembung kereta dipandu doktor di Semanggol


  • 112
  • Isnin, 09 Jan 2023

Mangsa yang dikenali sebagai Zainab (kanan) dan anaknya, Shahren meninggal dunia di tempat kejadian. — Facebook

DUA beranak maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Kedai 2, Tebok Rimba Simpang 4, Semanggol, dekat Bagan Serai, Perak pada Ahad.

Menerusi satu video tular yang dimuat naik halaman Facebook Bagan Serai Kampung HalamanKu memaparkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah dipandu laju sebelum tiba-tiba masuk laluan bertentangan dan menghentam sebuah lori.

Impak daripada pelanggaran tersebut mengakibatkan pemandu lori berkenaan yang juga seorang peniaga sate tersepit.

Seorang lagi mangsa iaitu ibu kepada pemandu lori itu, yang duduk di tempat penumpang turut mengalami nasib sama.

Mangsa yang dikenali sebagai Zainab Alias, 64, dan anaknya, Shahren Ismail, 37, yang mengusahakan Satay Warisan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.39 malam, Ahad.

"Kedua-dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian apabila lori jenis Daihatsu yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Yaris.

Tambahnya, mangsa dan ibunya tersepit di ruang pemanduan manakala pemandu kereta Toyota Yaris mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Fauziah Baharudin tamat pada pukul 9.13 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada Toyota Yaris yang dipandu seorang doktor berusia 28 tahun masuk secara tiba-tiba ke laluan lori dinaiki kedua-dua mangsa.

“Lori itu dari arah Semanggol. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan berbeza pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, jenazah dua beranak tersebut disolatkan di Masjid Larut Tin pada pada pukul 11 pagi Isnin sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Islah, Pengkalan Aur dekat Bagan Serai untuk dikebumikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram