SEBUAH keluarga didakwa warganegara Singapura dipercayai mengisi minyak petrol RON95 di sebuah stesen minyak dekat Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, Johor pada Selasa.
Lebih mencuri perhatian, keluarga tersebut turut mengenjut dan menggoncang kenderaannya beberapa kali dipercayai ingin mendapatkan lebihan petrol.
Memandu kereta jenis Toyota Altis, perbuatan warga Kota Singa itu bukan sahaja menyalahi undang-undang negara malah ia turut mendorong lebih ramai masyarakat dari negara jiran untuk terus merampas hak rakyat tempatan.
Insiden itu bukan kali pertama berlaku di Malaysia dengan beberapa kes serupa turut dikongsikan di laman media sebelum ini.
Hangat diperkatakan warganet, situasi itu menerima lebih 50,000 jumlah tontonan dan 250 perkongsian di laman Facebook.
Dalam pada itu, Majoriti sebelum ini pernah melaporkan beberapa isu berkaitan namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil terhadap si pelaku salah.
Memetik laporan Awani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Johor akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemilik stesen yang ditangkap menjual bahan api RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing dan mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM2 juta.
Malaysia sebelum ini mengharamkan penjualan petrol RON95 kepada kereta yang tidak didaftarkan di dalam negara kerana gred petrol itu diberi subsidi untuk rakyat tempatan.
Salah seorang warganet di Facebook, Zinoviy Stanislav berpendapat, ekonomi di Singapura amat menyedihkan kerana kehidupan rakyat di sana tidak berkualiti meskipun mempunyai nilai mata wang yang tinggi.
"Kasihan, kata negara maju tetapi taraf ekonomi menyedihkan, nilai duit tinggi tapi kehidupan tiada kualiti sampaikan nak isi minyak pun terpaksa bersusah payah henjut kereta macam itu," katanya.
"Sekali dengan mak dia pun tolong goncang kereta, minyak di Singapura mahal masuk Malaysia beli minyak, beli barang dapur lepas itu balik Singapura macam orang kaya," ujar Naim Ibrahim.
"Satu keluarga tolong goncang kereta untuk apa, boleh bagi minyak penuh daripada 70 liter ke 140 liter ke macam mana?" soal Chee Sian Tan.
Kerajaan Singapura difahamkan menjual gred minyak itu dengan harga empat kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia, maka keinginan pengguna untuk mendapatkan petrol yang lebih murah tercetus apabila harga minyak global kian melonjak.
Belum ada laporan dan tangkapan dibuat pihak polis setakat ini dan pengusaha stesen minyak itu juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram