[VIDEO] Wisma Jakel terbakar lagi, litar pintas atau khianat?


  • 112
  • Selasa, 03 Jan 2023

Keadaan Wisma Jakel yang terbakar pada awal pagi Selasa.

SUSULAN kebakaran gedung tekstil Wisma Jakel pada Ahad, warga Shah Alam sekali lagi dikejutkan dengan insiden serupa apabila bilik simpanan kain langsir premis itu dilaporkan terbakar pada awal pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan tersebut pada pukul 12.40 tengah malam dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada pukul 1.45 pagi.

"Api berjaya dipadamkan keseluruhannya oleh pihak bomba pada pukul 3.07 pagi dan kerja-kerja 'overhaul' sedang dilakukan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.

"Seramai 43 anggota dan pegawai ditugaskan untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, gedung tekstil Jakel cawangan Shah Alam itu dilaporkan terbakar dipercayai akibat litar pintas namun insiden kedua ini sekali lagi mencetuskan spekulasi ramai sama ada ia perbuatan khianat atau disengajakan oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, bomba Selangor pada Isnin telah menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden kebakaran di Wisma Jakel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram