Rumah hangus angkara gas memasak bocor, 3 beranak melecur, muka tertusuk kaca di JB


  • 112
  • Khamis, 05 Jan 2023

Sebuah rumah dua tingkat di Taman Gembira, Johor Bahru dilaporkan hangus terbakar dipercayai akibat kebocoran gas memasak di dapur pada awal pagi Khamis. — Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor

SEORANG wanita warga emas dan cucunya melecur, manakala anaknya pula cedera ringan selepas rumah mereka dilaporkan terbakar dipercayai akibat kebocoran gas memasak di Jalan Riang 14, Taman Gembira, Johor Bahru, Johor pada awal pagi Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5 pagi.

Beliau berkata, warga emas berusia 70 tahun dan cucu perempuan 10 tahun itu melecur tahap pertama dengan kulit mengelupas akibat kebakaran, manakala anak perempuannya berusia dalam lingkungan 30-an itu pula cedera ringan di muka akibat terkena serpihan kaca cermin tingkap.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat dan terbakar sehingga 60 peratus.

"Kemungkinan berlaku kebocoran gas memasak yang menyebabkan insiden itu, kebakaran pula teruk di bahagian dapur dan tingkat bawah, namun siasatan lanjut akan dibuat,” katanya.

Shamsul Khomari berkata, bagaimanapun ketiga-tiga mereka sempat keluar menyelamatkan diri sebaik pihak bomba tiba di lokasi kejadian dan mereka telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram