[VIDEO] Terlanggar objek misteri, penunggang motor melambung cium jalan tar di Mid Valley


  • Tular
  • Khamis, 29 Dis 2022

Tangkap layar penunggang motosikal tercampak di tengah jalan gara-gara terlanggar objek misteri.

SEORANG lelaki melalui detik cemas apabila melambung dan terkulai di tengah jalan dekat Lingkaran Syed Putra, berhampiran Mid Valley, Kuala Lumpur akibat terlanggar objek misteri di laluan tersebut pada Rabu.

Pelanggaran itu sekali gus mengakibatkan mangsa tercampak di laluan berkenaan selepas dilihat menunggang dengan kelajuan tinggi ketika kejadian.

Gagal mengawal motosikal dengan baik, lelaki bertopi keledar putih itu kemudiannya tersembam ke jalan dan mengundang perhatian beberapa pemandu lain yang turut berada di lokasi berkenaan.

Objek tersebut tidak dapat dipastikan, namun ia dipercayai merupakan seketul batu besar yang boleh mengundang bahaya kepada penunggang motosikal.

Dikongsikan di laman media, rakaman itu menerima lebih 10,000 jumlah tontonan di Facebook dan dihujani komen warganet.

Susulan kemalangan itu, motosikal mangsa dipercayai mengalami kerosakan namun lelaki terbabit difahamkan dalam keadaan stabil selepas masih mampu berdiri ketika kejadian.

Mangsa kemudiannya dibantu seorang pemandu lelaki dan penunggang motosikal lain yang juga berada di laluan tersebut.

Seorang netizen, Azmir Haji Minoh berkongsi pengalaman apabila pernah melalui situasi sedemikian di lokasi yang sama.

"Pernah kena macam ini tapi hampir nak terjatuh akibat terlanggar besi tengah jalan di kawasan yang sama, nasib baik kalau tak kena rempuh dah dengan kereta lain di situ," katanya.

"Aduh,tersagat atas jalan tar mesti pedih rasanya tu, semoga yang baik-baik sahaja untuk penunggang itu," jelas Nuriah Abdrazak.

"Masa bawa motor memang kena betul-betul fokus tengok jalan, sebab kadang-kadang ada batu ataupun objek terjatuh daripada lori tengah jalan, bahaya boleh jadi punca maut," tambah Jose Armin.

Mangsa dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam insiden tersebut dan trafik kembali stabil selepas daripada kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram