[VIDEO] Bengang lori tunda kena tendang, 'longkai' nyaris berentap dengan 'pak guard import' di Bukit Bintang


  • Tular
  • Khamis, 29 Dis 2022

Tangkap layar pergaduhan membabitkan seorang pemandu lori tunda dan pengawal keselamatan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

TINDAKAN biadab seorang pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang melakukan provokasi kepada seorang penunda kereta mengundang padah apabila individu itu hampir dipukul di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kejadian itu difahamkan berpunca akibat perlakuan pengawal terbabit yang dikatakan sengaja menendang lori itu ketika ingin menjalankan proses tunda di kawasan berkenaan.

Pengawal itu terlebih dahulu didakwa menghalang kerja-kerja tunda tersebut gara-gara lokasi berkenaan merupakan kawasan parkir berbayar.

Namun, situasi kian meruncing apabila pengawal terbabit mula berpelakuan biadab dan mencetuskan kemarahan pemandu lelaki tersebut.

Rakaman tular itu dikongsikan di laman TikTok dan hangat diperkatakan warganet sejak Rabu.

Gagal mengawal kemarahan, pemandu itu kemudiannya mula mempamerkan aksi lagak samseng apabila membuka baju dan meluru untuk memukul pengawal tersebut.

Pemilik syarikat tunda tersebut, Leong Seu Chii, 42, berkata, insiden itu tercetus selepas pengawal keselamatan tersebut menghalang pekerjanya untuk melakukan kerja-kerja tunda di kawasan terbabit.

"Dia kata situ lori tunda tak boleh letak kenderaan sebab kawasan parkir berbayar dan boleh merosakkan laluan serta jubin premis itu.

"Tapi pekerja saya beritahu kereta sudah rosak dan macam mana nak tunda kereta kalau tak boleh bergerak, lepas itu dia mula bising dan tendang lori kami.

"Lepas dah tendang dia mula datang ke arah pintu pemandu dan ajak bergaduh, siap tanya nama, syarikat mana dengan suara tinggi," dakwanya kepada Majoriti.

Meskipun disaksikan beberapa pengawal lain, insiden itu masih berterusan dan kedua-dua individu terbabit saling berperang mulut ketika kejadian.

Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, Seu Chii berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung kekecohan itu dan masalah berjaya diselesaikan dengan baik.

"Lepas dah gaduh dia tak berani nak berlawan pun dengan pekerja saya, jadi kereta terus dibawa ke bengkel.

"Pekerja saya bukan sengaja nak ajak gaduh kalau bukan dia yang mulakan dulu, boleh cakap elok-elok kenapa nak biadab," dakwanya lagi.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan pihaknya turut meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan berita palsu susulan kes tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak majikan pengawal keselamatan terbabit setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram