KJ kini Ahli Umno Bahagian Sungai Buloh


  • Politik
  • Ahad, 25 Dis 2022

Khairy Jamaluddin mengumumkan beliau kini sudah menjadi ahli Umno Bahagian Sungai Buloh.

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan beliau kini sudah menjadi ahli Umno Bahagian Sungai Buloh iaitu kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy yang juga merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau itu memaklumkan mengenai perkara itu dalam sebuah video akaun TikTok Umno Sungai Buloh pada Ahad.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, keputusan berpindah itu diambil kerana mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menjadikan kawasan itu sebagai kubu buat Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak suka tinggalkan begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain,” katanya.

Katanya, keputusan untuk berhijrah di kawasan tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu dahulu dengan Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan pemimpin bahagian lain termasuk Datuk Harison Hassan.

“Soal pemilihan nanti kita bincang adik-beradik macam mana nak buat. Yang penting seperti mana saya sebut tadi, saya datang bukan hanya nak bertanding dan kalah terus hilangkan diri. Tidak, saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh,” jelasnya.

Pada PRU lalu, Khairy yang memperoleh 48,250 undi tewas dengan perbezaan majoriti tipis hanya 2,693 undi di tangan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan yang meraih 50,943 undi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram