Anggap isu tampar atlet pembakar semangat, bapa maafkan jurulatih


  • Massa
  • Selasa, 03 Jan 2023

Tangkap layar video tular memaparkan aksi jurulatih itu ketika menampar pemain bola tampar terbabit.

BAPA kepada salah seorang pelajar perempuan yang ditampar jurulatih dalam satu insiden di kejohanan bola tampar di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini sudah memaafkan perbuatan lelaki itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

Meskipun kejadian itu mendapat perhatian netizen yang mengecam perbuatan berkenaan, namun Abd Halim Bakar, 50, menganggap tindakan itu tidak keterlaluan serta tidak meninggalkan sebarang kesan psikologi ke atas anaknya.

Sebaliknya, beliau melihat kelakuan jurulatih itu sebagai pembakar semangat kepada anaknya untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan itu dan tindakannya bukan bertujuan mencederakan.

"Sehubungan itu, saya mohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengambil tindakan memandangkan kami telah memaafkan guru sukan (jurulatih) itu.

"Untuk netizen pula, kami minta hentikan semua kecaman kerana saya pun tidak anggap ia serius dan tiada kecederaan yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Melekek, di Alor Gajah, Melaka pada Selasa.

Beliau juga tidak menyangka kejadian itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), yang bertindak menggantung tugas jurulatih berkenaan.

Mengulas lanjut, Abd Halim memaklumkan, keluarganya sudah mengenali lelaki itu lebih lima tahun dan berharap beliau dikekalkan berdasarkan kemampuan dan dedikasi jurulatih berkenaan melatih pasukan anaknya.

"Kami harap pihak terlibat dapat memberi peluang kepadanya dengan mengambil kira jasa dan bakti yang dicurahkannya dalam sukan bola tampar. Saya percaya tindakan tidak lebih seperti 'mengejutkan orang dari tidur', untuk naikkan semangat," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan, status jurulatih berkenaan yang sebelum ini digantung sementara oleh MAVA, akan ditentukan pada Rabu selepas siasatan lanjut dilakukan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, VP Shanmugam berkata, hal itu perlu memandangkan jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan ini adalah di bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram