KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat dalam insiden ditampar seorang jurulatih untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian tersebut.
KPM berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu yang dilaporkan oleh pihak media berkaitan klip video yang melibatkan jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita) yang didapati menampar dua orang pemain wanita pasukan tersebut.
"KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden tersebut.
"Pada masa yang sama, KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.
"KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Majoriti melaporkan Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) menggantung sementara jurulatih yang tular kerana menampar dua orang pemainnya.
Mava turut mengambil langkah untuk menubuhkan satu badan siasatan menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta.
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku melibatkan sebuah pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) pada 16 Disember lalu.
Perlawanan tempat ketiga melibatkan pasukan Melaka menentang Johor.
Dalam video yang disiarkan secara langsung di Facebook, seorang lelaki yang dikatakan jurulatih Melaka dilihat menampar dua pemainnya ketika rehat selepas mereka melepaskan mata kepada pasukan lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram