VIDEO tular berkaitan seorang jurulatih skuad bola tampar remaja, yang bertindak menampar dua pemainnya mendapat kecaman dan perhatian beberapa pihak.
Ia antara lain Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) yang sudah menggantung sementara jurulatih terbabit.
Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan mengadakan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid tersebut.
Bukan itu sahaja, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; serta bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menyatakan rasa prihatin atas kejadian itu di media sosial masing-masing.
Menerusi video disiarkan secara langsung di laman Facebook, seorang jurulatih skuad bola tampar wanita Melaka Bawah 14 Tahun (B14) dilihat menampar dua pemainnya ketika sesi rehat, selepas mereka melepaskan mata kepada pasukan lawan.
Perlawanan tersebut melibatkan pasukan Melaka menentang Johor pada 16 Disember lalu.
Sementara itu, Dr. Anuar Ahmad menegaskan, tindakan jurulatih terbabit merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh diambil mudah.
Anuar Ahmad
Hal ini kerana, kata Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia itu, peraturan dan panduan sedia ada jelas memaklumkan tentang skop dan bidang tugas seorang jurulatih.
"Sudah jelas perbuatan ini salah dan mesti diambil tindakan mengikut undang-undang.
"Kita tak mahu perkara ini menjadi suatu budaya dan biar pihak polis melakukan siasatan.
"Anak-anak ini perlu mendapat sistem sokongan dan semoga mendapat pembelaan sewajarnya," katanya kepada Majoriti.
Ketika ditanya sama ada atlet lain akan berasa bimbang untuk aktif dalam bidang sukan selepas ini, Anuar menolak kemungkinan itu.
Sebaliknya, beliau berkata, negara ini mempunyai ramai jurulatih lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai tingkah laku baik.
"Kes ini lebih kepada personaliti jurulatih itu. Sebab itu kita perlu ambil tindakan sewajarnya," tambahnya.
Pada masa sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Melaka, VP Shanmugam dilapor berkata, status jurulatih terbabit sama ada digantung atau tidak akan ditentukan Rabu ini.
Cabaran atlet
Fauziah
Turut mengulas kes itu adalah Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad.
Fauziah berkata, atlet-atlet terlibat dinasihati untuk membangunkan daya tahan mental yang kuat ketika berdepan dengan dua perkara tersebut, yakni ketika ditampar jurulatih dan berasa malu apabila video itu ditularkan.
Menganggap perkara tersebut sebagai cabaran buat atlet terbabit, beliau berkata, mereka tidak patut memendam masalah itu seorang diri, sebaliknya perlu meluahkannya kepada individu terdekat seperti ibu bapa dan sahabat handai.
"Mereka perlu berfikir secara positif apatah lagi berstatus atlet.
"Kedua-kedua pemain dan coach (jurulatih) juga perlu memberikan kerjasama.
"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) disaran menyediakan kaunselor atau pakar bidang psikologi dan jasmani untuk berjumpa dengan mereka tentang cara hilangkan stress, serta bagaimana berdepan dengan coach secara asertif, iaitu tanpa bertindak kurang ajar," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram