IBU bapa pemain bola tampar wanita yang ditampar jurulatih baru-baru ini telah berjumpa dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu pertemuan pada Isnin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pertemuan itu bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak ibu bapa pelajar yang terlibat dengan kejadian tersebut.
"Kami (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kami tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar.
"Keprihatinan kami sangat besar berkenaan isu ini dan keutamaan kami adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut,” katanya.
Beliau berkata, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa serta pihak berkepentingan yang lain akan dilihat secara keseluruhan dan siasatan bakal diteruskan khususnya yang berkait rapat dengan integriti dan tatatertib.
Fadhlina turut menambah, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya adakah KPM akan membuat laporan polis berkenaan isu terbabit, Fadhlina berkata, pihak kementerian boleh melaksanakan siasatan menerusi bahagian integriti dan tatatertib.
"Kami masih lagi menyiasat, tidak semestinya kami tunggu laporan polis. Kami boleh siasat sebab ada bahagian integriti dan tatatertib,” katanya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor.
Mengulas berhubung kewajaran untuk menambah prasekolah dan tadika kerajaan di kawasan bandar, Fadhlina berkata, kementeriannya sedang meneliti keutamaan dalam perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya bersama ketua setiausaha KPM dan ketua pengarah Pendidikan sudah berbincang mengenai perkara berkenaan dan melihat ada keperluan untuk menambah fasiliti tersebut serta dasar terkait rapat mengenai perkara itu akan dipercepatkan.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, sekolah turut diberi kelonggaran untuk membenarkan pelajar mereka memakai tali leher ataupun tidak berbuat demikian kerana kuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa sekolah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram