[VIDEO] Jurulatih bola tampar pelempang 2 pemain bawah umur serentak, Hannah Yeoh tuntut penjelasan


  • Tular
  • Ahad, 01 Jan 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang jurulatih menampar dua orang pemain pasukan bola tampar berusia bawah 14 tahun. — Facebook

SATU video yang memaparkan tindakan biadab seorang jurulatih bola tampar menampar pemainnya kini tular di media sosial sejak Ahad.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku melibatkan sebuah pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) pada 16 Disember lalu.

Perlawanan yang diadakan di sebuah sekolah di Johor itu melibatkan penentuan tempat ketiga membabitkan pasukan Melaka dan Johor.

Menerusi video tular itu, dua pemain Melaka yang didakwa menjadi punca pasukan kehilangan mata telah ditampar oleh jurulatihnya.

Kejadian tampar itu berlaku ketika tempoh rehat permainan yang turut mengakibatkan pemain lain tergamam melihat situasi itu.

Seorang lagi pemain Melaka dilihat menepuk bahu pemain yang ditampar bagi menaikkan semula semangatnya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut berkongsi pautan berita berkaitan kes itu di akaun Twitter miliknya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersama pautan itu, Hannah berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq berkaitan kes itu.

"Ini adalah sesuatu yang salah. Saya sudah bercakap dengan Fadhlina dan kami berdua sedang mengumpul maklumat berkaitan insiden ini," ciapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram