[VIDEO] Langgar lampu merah, Axia terbakar di Seremban, mujur pemandu tak parah


  • Tular
  • Isnin, 26 Dis 2022

Tangkap layar sebuah kereta jenama Perodua Axia rentung terbakar selepas kemalangan di Seremban.

SEBUAH kenderaan Perodua Axia dilaporkan terbakar selepas merempuh tiang lampu jalan akibat kemalangan di simpang berhampiran pusat beli belah Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.

Kemalangan itu difahamkan berlaku selepas kereta terbabit dirempuh dari arah berlawanan yang sekali gus menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan laluan tersebut.

Kereta berkenaan kemudiannya terbakar dan kepulan asap mula kelihatan dari jarak jauh selepas hampir keseluruhan kenderaan itu rentung dijilat api.

Dalam pada itu, suspek yang menjadi punca kejadian itu difahamkan telah melarikan diri sejurus kemalangan itu berlaku dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera dashcam dan dikongsikan di laman Facebook.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 ketika dihubungi Majoriti, mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu dan tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki dewasa sempat keluar dari kenderaannya namun gagal menyelamatkan keretanya yang terbakar dalam insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 45 tahun memandu sendirian menuju ke arah Hotel Time.

"Mangsa bertindak mengabaikan lampu isyarat merah lalu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang.

"Sebuah kereta jenis BMW 320i yang dipandu lelaki berusia 40 tahun datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri Axia tersebut.

"Perodua Axia terbakar sepenuhnya akibat kemalangan tersebut dan tiada kecederaan dialami mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Di ruangan komen, warganet mengecam perbuatan serta sikap mementingkan diri suspek langgar lari berkenaan.

"Sikap pemandu tak bertanggungjawab macam ini yang sering menyusahkan ramai pihak, dah langgar lampu isyarat lepas tu langgar pemandu lain pula," kata Nor Hakimi.

"Kalau dah langgar orang sekurang-kurangnya berhenti la jangan terus pecut sudahnya polis akan siasat juga nanti," jelas Paan Aqil.

"Pentingnya setiap pemandu untuk simpan alat pemadam api kecil dalam kereta, kalau terjadi kebakaran macam itu boleh juga selamatkan kereta," tambah Syahir Zaki.

Kebakaran itu telah dipadamkan oleh pihak bomba dan kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 167/59). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram