SEORANG kakitangan bank dipercayai berjawatan pegawai memaparkan sikap kurang sopan apabila bertindak meninggikan suara dan menengking tiga pelanggan di sebuah bank cawangan Kota Marudu, Sabah pada Jumaat.
Kejadian itu difahamkan berlaku ketika tiga lelaki terbabit sedang berurusan di kaunter dan dipercayai terjadi pada lewat petang, beberapa jam sebelum bank tersebut ditutup.
Meskipun ada perselisihan faham berlaku antara mereka, kakitangan bank terbabit dilihat mula bersikap dingin apabila menengking dan menghalau salah seorang lelaki berkenaan untuk beredar dari cawangan tersebut.
Tersentak dengan jeritan itu, lelaki terbabit kemudiannya membalas teguran berkenaan namun sekali lagi mereka diusir dan diarah untuk bersabar menanti urusan mereka diselesaikan.
Rakaman tular itu menerima lebih 200,000 jumlah tontonan di TikTok dan pelbagai tohmahan serta hujahan diberikan warganet berhubung isu tersebut.
Berkemungkinan ada kesalahan ataupun salah faham berlaku antara kedua-dua belah pihak ketika kejadian namun tumpuan warganet dilihat lebih terarah kepada sikap biadab yang dipamerkan pegawai bank itu ketika berurusan dengan pelanggan.
Gagal mengekalkan ciri ataupun tahap profesionalisme sebagai seorang kakitangan bank, lelaki berkenaan sebaliknya dilihat terus menengking dan mengusir pelanggan tersebut beredar dari kaunter.
Ada pihak berpendapat, seharusnya situasi seperti itu diuruskan oleh pengawal keselamatan bertugas kerana mereka lebih arif tentang hal undang-undang dan lebih layak memenangkan situasi.
"Sepatutnya tak perlu pegawai itu nak meninggikan suara, kalau ada isu dengan pelanggan terus serahkan kepada pengawal keselamatan bertugas, bukannya terus tengking dan halau sesuka hati," kata Fatin Umairah.
"Lelaki baju hijau itu sudah cakap elok-elok yang pegawai itu nak marah, jerit tak tentu pasal macam nak gaduh dah kenapa, kalau marah sekali pun kakitangan bank kena ingat peraturan piagam pelanggan," jelas Hayyat Sandra.
"Bukan nak buka aib, tetapi adik saya pun pernah tak dilayan ketika nak buka buku bank untuk permohonan bantuan kerajaan, malah dia dimarahi seolah-olah macam semua kakitangan bank di situ berdarah tinggi," tambah Sofiah Hash.
Sementara itu, pihak bank berkenaan, BSN Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook mengesahkan kejadian tersebut.
"Untuk makluman, video tersebut tidak memaparkan keseluruhan insiden yang berlaku. Pelanggan dan kakitangan BSN telah menyelesaikan salah faham tersebut dengan baik.
"Walaubagaimanapun, siasatan tetap akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil. BSN sentiasa berusia memberikan perkhidmatan memuaskan kepada semua pelanggan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram