[VIDEO] Tunggu motor diisi petrol, 2 lelaki curi duit, tibai warga asing sampai cium tanah di Butterworth


  • Tular
  • Isnin, 26 Dis 2022

Tangkap layar seorang pekerja warga asing disamun dua penunggang motosikal di sebuah stesen minyak.

SEORANG pekerja stesen minyak melalui detik cemas apabila disamun dua penunggang motosikal lelaki di Merbau Kudung, Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad.

Ketika kejadian, mangsa yang merupakan warga asing difahamkan sedang mengisi petrol ke motosikal suspek sebelum secara tiba-tiba ditarik dan dipukul kedua-dua lelaki berkenaan.

Meskipun cuba untuk mempertahankan diri, mangsa akhirnya tertewas selepas suspek menggunakan kekerasan dengan memukul dan menendang perutnya berulang kali.

Tidak dibantu mana-mana pihak, kedua-dua suspek kemudian memecut dan beredar dari lokasi tersebut selepas berjaya melarikan sejumlah wang daripada mangsa.

Rakaman kejadian dikongsikan di laman Facebook dan hangat diperkatakan warganet.

Penyelia stesen minyak tersebut, Lee Chang Sin berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 9 malam dan mangsa hanya bekerja sendirian di bahagian pam minyak.

"Masa itu agak sunyi dan pekerja saya disamun dua lelaki ketika bekerja berseorangan di bahagian luar.

"Perompak itu ambil lebih RM1,000 masa itu dan pekerja saya tak mampu nak bertahan selepas dipukul dengan teruk.

"Pekerja saya alami luka di tangan tapi nasib baik tiada pendarahan serius berlaku," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Lee Chang memohon agar sesiapa yang mempunyai maklumat dan mengenali suspek segera tampil untuk membantu mengesan penjenayah terbabit.

Difahamkan, kes tersebut sudah dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan sedang giat dijalankan berhubung kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram