[VIDEO] Polis kaut 'duit kopi', saman pemandu lori pun hangus, Bukit Aman sahkan video tular disiasat


  • Tular
  • Khamis, 29 Dis 2022

Tangkap layar seorang anggota polis dikatakan menerima duit rasuah ketika sedang menjalankan tugas.

PIHAK polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung rakaman tular anggota polis yang didakwa menerima wang suapan ketika menjalankan tugas.

Menerusi video berdurasi 41 saat itu, polis berkenaan terlebih dahulu memberikan surat saman kepada seorang pemandu lori atas faktor kesalahan lalu lintas.

Namun, konflik mula tercetus sebaik anggota tersebut dilihat menerima sejumlah duit daripada pemilik kenderaan terbabit.

Perbuatan itu sempat dirakamkan oleh penumpang lori berkenaan dan ia sekali gus mengundang pelbagai spekulasi di laman media berhubung kejadian tersebut.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Asisten Komisioner A. Skandaguru mengesahkan perkara tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Polis maklum tentang kes tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

"Lokasi dan identiti anggota itu masih belum dikenal pasti namun segalanya akan terjawab dalam masa terdekat.

"Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dan buat masa sekarang polis belum boleh mengulas lanjut berkenaan video tersebut," katanya kepada Majoriti.

Difahamkan, rakaman itu merupakan kejadian lama dan telah dimuat naik pada Februari lepas namun, ia semakin tular kebelakangan ini dan hangat diperkatakan di laman Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram