[VIDEO] Ingatkan jemaah wanita, lelaki bertelekung nekad rembat iPhone dalam masjid di Shah Alam


  • Tular
  • Rabu, 21 Dis 2022

Tangkap layar seorang lelaki bertelekung mencuri telefon pintar ketika jemaah wanita sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Shah Alam pada Rabu.

TINDAKAN seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita di sebuah masjid di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor mengundang perhatian ramai apabila tertuduh didakwa mencuri telefon pintar jenis iPhone X ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh pada Rabu.

Ketika kejadian, suspek terlebih dahulu mengambil pakaian telekung di rak almari sebelum memeriksa kawasan sekeliling bagi memastikan tindakannya tidak disedari mana-mana pihak.

Selesai memeriksa kawasan sekeliling, suspek kemudiannya menceroboh masuk ke kawasan solat wanita dan memulakan kegiatan mencuri.

Pun begitu, perbuatannya berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup CCTV masjid berkenaan dan video tersebut hangat diperkatakan di laman Twitter.

Salah seorang jemaah telah kehilangan sebuah telefon bimbit jenama iPhone dan keluarga mangsa telah memuat naik rakaman kes terbabit di media sosial.

Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku selepas seorang lagi mangsa turut mendakwa bahawa ibunya juga pernah mengalami nasib yang sama sebelum ini.

Adibhabib mendakwa, ibunya juga turut kehilangan telefon pintar ketika menunaikan solat di masjid tersebut.

"Perkara yang sama terjadi pada ibu saya ketika dia sedang solat Isyak di masjid itu, rasanya suspek lelaki yang sama sebab ada rakaman video CCTV," dakwanya.

Sementara itu, Azfar menggesa agar orang ramai yang mengenali identiti pencuri itu untuk tampil memberikannya maklumat secepat mungkin.

"Mohon pertolongan warga Shah Alam yang kenal hamba ALLAH yang sanggup mencuri telefon iPhone X mak saya, beritahu dia untuk pulangkan segera.

"Saya tawarkan ganjaran kepada yang boleh berikan maklumat atau sesiapa sahaja yang dapat pulangkan semua telefon itu," ujarnya dalam satu kenyataan di Twitter.

Dalam pada itu, belum ada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut oleh mangsa dan segala bukti dikongsikan agar insiden itu tular dan meraih perhatian ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram