[VIDEO] Ambulans terbalik di Pulau Pinang, ibu dan anak tersepit di kerusi duduk


  • Tular
  • Rabu, 21 Dis 2022

Tangkap layar sebuah kenderaan ambulans terbalik selepas merempuh pembahagi jalan dan sebatang pokok.

SEBUAH kenderaan ambulans St. John dilaporkan terbalik selepas merempuh pembahagi jalan dan sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, Georgetown pada Selasa.

Insiden itu menyebabkan empat individu termasuk dua orang pesakit dalam kenderaan tersebut tercedera dan salah seorang mangsa dilihat mengalami pendarahan di tangan ketika kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt V.Saravanan berkata, kemalangan pada pukul 4.40 petang itu berlaku ketika pemandu ambulans dan seorang pembantu pegawai perubatan terbabit sedang dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengambil seorang pesakit wanita dan anak perempuannya.

"Sebaik sampai di Jalan Masjid Negeri menghala ke Jalan Scotland, pemandu ambulans dipercayai hilang kawalan sekali gus menyebabkan kenderaan itu terbalik selepas terbabas dan melanggar pembahagi jalan di situ.

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans, pesakit yang berusia 54 tahun dan anak perempuannya berumur 24 tahun tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya.

Difahamkan, pemandu ambulans itu mengalami kecederaan di tangan dan kepala manakala pembantu perubatan pula cedera ringan di muka dan tangan.

"Pesakit mengalami kecederaan di kepala manakala anak perempuannya pula cedera di kepala dan muka.

"Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram