[VIDEO] Kereta peronda polis hangus terbakar, 2 anggota nyaris maut di LPT2


  • Tular
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Sebuah kereta peronda polis dilaporkan terbakar di LPT2.

SEBUAH kereta peronda polis dilaporkan rentung selepas terbakar secara tiba-tiba di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Terengganu pada Jumaat.

Kejadian itu sekali gus mengakibatkan dua anggota di dalam kenderaan itu nyaris maut selepas hampir keseluruhan kereta itu hangus dijilat api.

Namun, kedua-duanya terselamat dalam insiden tersebut dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Rakaman tular itu dikongsikan di laman Facebook dan menerima lebih 3,000 jumlah tontonan setakat ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Khairul Ilmi Mohd Akhir berkata, kereta peronda polis itu musnah 100 peratus.

Menurutnya, ketika kejadian kereta peronda tersebut sedang dalam perjalanan menghala ke arah Ajil, Hulu Terengganu, sebelum mengeluarkan asap secara tiba-tiba dan terbakar.

Kedua-dua anggota berkenaan sempat keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri dan mereka kemudiannya memaklumkan insiden berkenaan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Khairul Ilmi berkata, pihaknya bertindak pantas dan kebakaran berjaya dipadamkan anggota bomba dalam tempoh singkat.

Namun, punca kejadian dan taksiran kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram