Jangan ambil kisah konspirasi dirancang, Anwar patut fokus tadbir negara — Ahmad Atory


  • Politik
  • Khamis, 22 Dis 2022

Anwar tiba di bangunan Parlimen pada 19 Disember lalu.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk menumpukan kepada pemerintahan dan pentadbiran kerajaan terkini, kata Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

Penganalisis politik itu membangkitkan perkara tersebut apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyifatkan bahawa, semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.

Anwar dalam pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan pada Isnin lalu terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, ia adalah dendam keji yang dilakukan untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya.

Pernyataan saman terhadap Muhamad Sanusi itu membabitkan ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah "Jelajah PN Best Tambun".

1843071 (1)

Ahmad Atory — Agensi

Ahmad Atory tidak menolak kemungkinan bahawa, konspirasi politik itu sengaja diadakan oleh puak-puak pembangkang yang tidak menyukai Anwar memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Oleh itu, katanya, perkara itu tidak akan selesai dan Anwar dicadangkan untuk tidak mengendahkan konspirasi tersebut.

"Saya rasa kalau dia terlalu ambil kisah hal konspirasi yang dirancang ini, tempoh lima tahun akan diisi dengan naik turun mahkamah, bukan fokus mentadbir negara," katanya kepada Majoriti.

Pada 13 Disember lalu, Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Sementara itu, peguam Datuk S N Nair, yang mewakili Anwar dilapor sebagai berkata, saman terpinda itu sudah diserahkan kepada peguam defendan dari Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram