DEWAN Rakyat bersidang buat pertama kalinya pada Isnin selepas negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Persidangan itu juga buat pertama kali diadakan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semestinya persidangan itu menjadi tumpuan kerana antara usul yang dibahaskan adalah berkenaan dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) terhadap Anwar selaku Perdana Menteri.
Selain itu, rakyat juga ingin melihat gaya perbahasan dalam kalangan MP sama ada berubah atau tidak kerana pembangkang kini sudah menjadi kerajaan dan begitu juga sebaliknya.
Agak menghampakan apabila corak perbahasan masih lagi sama dan ada kalanya, MP di pihak kerajaan sendiri dilihat bertindak dengan gaya pembangkang.
Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan turut bersetuju dengan perkara tersebut.
Rafizi Ramli antara pembahas yang dikenali dengan hujah dan faktanya.
Bahas ikut fakta
Menurut Dr Azmi, masih terlalu awal untuk menilai cara MP membahaskan sesuatu isu dan mereka yang baharu perlu diberi peluang.
"Melihat sidang pada Isnin dan Selasa, saya nampak suara muka baharu masih dikawal oleh dua ke tiga MP yang sudah otai.
"MP otai ini nampak lebih ke depan kerana mereka berani bersuara lantang manakala yang baharu masih lagi dilihat tidak begitu berani," katanya kepada Majoriti.
Tetapi apa yang penting kata Dr Azmi, adalah keperluan untuk seseorang itu berhujah mengikut fakta supaya nampak lebih intelektual.
Tambahnya, dia juga yakin yang MP baharu ini boleh mengubah perkara itu dan menjadikan perbahasan lebih lancar.
Azalina Othman (kanan) dianggap sebagai pembahas yang baik setakat ini.
Kurangkan lawak jenaka
Selain berbahas mengikut fakta, Dr Azmi juga berharap supaya MP dapat mengurangkan lawak jenaka dan lebih serius ketika berbahas.
"Perbahasan adalah sesuatu yang sangat serius kerana isu yang dibawa itu juga mewakili suara rakyat.
"Saya kalau boleh mahu MP mengurangkan sedikit lawak jenaka dan fokus kepada perbahasan mereka," katanya.
Dr Azmi berkata, MP perlu menunjukkan kebolehan mereka yang memiliki tahap akademik tinggi.
MP Pengerang, Datuk Azalina Othman Said dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin disifatkan Dr Azmi sebagai pembahas yang baik.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul cuba meleraikan kekecohan antara Ahli Parlimen.
MP otai memalukan, tak tunjuk teladan
Seperkara lagi yang disentuh oleh Dr Azmi adalah berkaitan dengan kehadiran MP otai yang sudah berpengalaman menghadiri perbahasan di Dewan Rakyat.
"MP otai ini sepatutnya berasa malu bila melakukan perkara yang tidak sepatutnya (terjerit-terjerit) ketika perbahasan berjalan.
"Mereka patut tunjuk teladan yang baik dan cara bagaimana dewan patut berfungsi khususnya kepada MP baharu," katanya.
Jelasnya, MP otai memang tiada masalah berhujah secara semberono tanpa teks kerana mereka ada pengalaman.
"Keinginan sama juga akan muncul bagi MP baharu cuma jika gaya itu tidak ditunjuk dengan baik, maka mereka akan terikut gaya yang memalukan itu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram