KERAJAAN akan memperkenalkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5 sebulan yang akan berada di pasaran Februari tahun depan, umum Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.
"Pakej prabayar ini ditawarkan pada harga RM30 dengan data 30 gigabait (GB) untuk tempoh enam bulan, dengan kelajuan 3Mbps (megabit sesaat).
"Pengguna bakal menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan persediaan Bantuan Bencana Banjir Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi berkata, pakej itu adalah pakej asas dan syarikat penyedia perkhidmatan dibenarkan untuk menawarkan nilai tambah dalam pakej itu.
Beliau berkata, pengenalan pakej itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia.
"Langkah penurunan harga ini jelas membuktikan kerajaan memberi perhatian serius terhadap keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi pada harga lebih murah dan mampu milik,” katanya dan menambah penyedia perkhidmatan akan mengumumkan mengenai pakej itu kepada pengguna dalam masa terdekat. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram