Musibah banjir, sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka dibatalkan


  • Primer
  • Rabu, 21 Dis 2022

Anwar mengumumkan sambutan besar-besaran ambang Tahun Baharu 31 Disember di Dataran Merdeka dibatalkan. — Facebook/Anwar

SAMBUTAN Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Oleh kerana keadaan banjir dan kesusahan rakyat, kita putuskan sambutan besar-besaran ambang Tahun Baharu 31 Disember di Dataran Merdeka dibatalkan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Anwar berkata, mesyuarat Kabinet pada Rabu memberi tumpuan soal banjir di Kelantan dan Terengganu dan beliau sendiri akan turun ke Kelantan bagi meninjau keadaan di sana petang Rabu.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri, Dr Ahmad Zahid Hamidi telah sampai di kedua-dua negeri berkenaan dan memantau serta mengambil beberapa tindakan segera, dan telah melaporkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat tadi.

"Saya akan ke Kelantan dan pengumuman (berkaitan) banjir akan diumumkan di sana setelah mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat Kabinet juga ada membincangkan sepintas lalu mengenai perkembangan di Parlimen dua hari lepas berhubung usul percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahli Parlimen Tambun itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 apabila usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid.

"Kita boleh tumpu sekarang soal kerja, menjana pertumbuhan ekonomi dan lebih pesat, kerana mandat yang diberikan itu jelas.

"Hampir sebulat suara pada hari berkenaan (dan) walaupun kalau ada pengundian, undi dua pertiga itu memang terjamin. Jadi saya ambil kesempatan ucap terima kasih pada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan kebetulan dalam kes ini tidak ada yang bantah dari pihak pembangkang," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Fadillah yang membentangkan usul yang diterima baik.

Beliau berkata, mandat besar yang diterima adalah untuk kerajaan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap menjamin tata kelola pemerintahan dan urus tadbir yang lebih berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram