Semua murid dapat RM150, Bantuan Tunai Rakyat diawalkan ke Januari 2023 antara intipati bajet mini diumum Anwar


  • Primer
  • Selasa, 20 Dis 2022

Anwar turut mengumumkan bahawa pada Januari 2023 juga kerajaan akan menyalurkan bayaran Bantuan Tunai Rakyat 2023 Fasa 1.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju unyuk menyalurkan bantuan awal persekolahan kepada semua murid tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, jumlah sebanyak RM150 akan diberi kepada setiap murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa mereka dan bantuan berkenaan akan diberikan pada Januari 2023.

Pada hari kedua sidang Dewan Rakyat itu juga, Anwar mengumumkan bahawa pada Januari 2023 juga kerajaan akan menyalurkan bayaran Bantuan Tunai Rakyat 2023 Fasa 1.

Bantuan Tunai Rakyat itu sebelum ini dijadualkan akan diberikan pada Mac 2023 namun selepas melihat keadaan rakyat, Kerajaan bersetuju untuk memberikan pada Januari tahun depan.

Sebanyak RM300 akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan RM100 pula disalurkan kepada bujang.

“Bayaran fasa satu ini akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.

“Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini,” katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada musim tengkujuh yang berlaku kini, Kerajaan mencadangkan untuk memberi bantuan bayaran tambahan RM200 Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil pada Januari ini.

Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa itu menyaksikan Anwar membentangkan peruntukan khas (bajet mini) untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650.

Ketika membentangkan perkara itu di Dewan Rakyat pada Selasa, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, bajet mini tersebut merangkumi pembayaran gaji penjawat awam, utiliti dan biasiswa.

Turut terkandung dalam mini bajet itu adalah bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram