Pembangkang perlu 'move on', hentikan pertikai undian suara


Takiyuddin (kiri) mempertikai keputusan undi suara yang diluluskan dalam Dewan Rakyat terhadap Anwar pada Isnin.

KEPUTUSAN keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mendapat sokongan majoriti menerusi undian suara di Dewan Rakyat pada petang Isnin.

Namun, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas itu memaklumkan sebenarnya tidak diketahui berapa Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri.

Warganet yang melihat perkara itu menganggap Setiausaha Agung PAS berkenaan sepatutnya tidak membangkitkan lagi sebaliknya terus memberi sumbangan kepada negara.

Muallim Kelulut berkata, tujuan Anwar memastikan keabsahan adalah supaya tidak berlaku pertikaian kerana sudah mempunyai bukti.

"Suara yang sokong lebih kuat berbanding dengan tidak. Budak sekolah pun boleh nilai. Jadilah pembangkang yang menambah baik cadangan yang bernas. Tak berkesudahan bila kita pertikai sahaja," katanya.

Rizal Ahmad pula berharap supaya semua Ahli Parlimen tidak sibuk berpolitik gila kuasa sebaliknya sama-sama bangunkan negara yang telah jauh ketinggalan.

Nizam Noor juga menempelak pembangkang yang hanya tahu menyatakan rasa tidak puas hati dan tidak mengambil bahagian dalam usul undi percaya.

"Kalau nak tahu berapa orang yang undi Perdana Menteri, jadi pembangkang kenalah ambil bahagian dalam usul undi percaya.

"Tak mahu ambil bahagian tetapi nak melalak tak puas hati. Tak boleh macam itu, tak nampak bijak sebagai pembangkang," katanya.

Untuk rekod, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengesahkan dirinya mendapat sokongan majoriti menerusi undian suara.

Usul undi percaya dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum disokong, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Pembentangan usul undi percaya itu adalah bagi membuktikan keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu sebagai Perdana Menteri ke-10 mengikut butiran terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram