TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki yang membuang air kecil berhampiran dapur memasak di sebuah restoran dekat Johor pada Jumaat mengundang kecaman ramai.
Ketika kejadian, kanak-kanak tersebut terlebih dahulu dilihat meminta izin pada ibunya sebelum bertindak sedemikian.
Atas sikap kurang bertanggungjawab, wanita berkenaan dipercayai mengarahkan anaknya untuk kencing di bawah kuali memasak digunakan, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi berkaitan tahap kebersihan dapur di restoran tersebut.
Rakaman tular itu dikongsikan di laman Facebook dan hangat diperkatakan warganet yang rata-ratanya mengecam situasi berkenaan.
Ada berpendapat bahawa kanak-kanak itu berkemungkinan kencing pada lubang parit di bawah dapur memasak tersebut, namun perbuatan itu masih satu perkara yang menjijikkan dan boleh mengundang pencemaran pada hidangan makanan di situ.
Turut kelihatan ketika itu adalah seorang lelaki yang juga merupakan tukang masak di dapur restoran berkenaan yang nyata tidak mempedulikan tindakan kanak-kanak terbabit.
Amsyar Epul berpendapat, perbuatan itu sememangnya perkara jijik dan mencemarkan persekitaran sebuah restoran.
“Kotor la bagi anak kencing bawah kuali memasak, jijik betul kasihan pelanggan dapat makanan kotor," ujarnya.
“Tak kisah la ada parit ke ataupun tidak, yang penting memang pengotor dan tak jaga kebersihan langsung, pihak berkuasa kena ambil tindakan,” jelas Tyra Zaid.
“Bau hancing la makanan dia masak tu, jijik betul perangai tukang masak macam ni,” tambah Roman Airo.
Lokasi sebenar kejadian belum diketahui namun menurut komen warganet di Facebook, ia dipercayai berlaku di Johor.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan pemilik video juga telah memadam video tersebut selepas perkongsian itu menerima pelbagai kecaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram