DEMI secawan air percuma, beberapa orang wanita sanggup menggadaikan maruah apabila mempamerkan aksi tarian kurang sopan dan mencolok mata di sebuah tapak pesta di Pulau Pinang pada Rabu.
Kejadian itu bukan sahaja memalukan kaum wanita, malah turut meninggalkan imej buruk kepada agama Islam selepas rata-rata yang turut serta dalam tarian itu adalah wanita berhijab.
Segalanya berlaku disebabkan air percuma yang ditawarkan buat pengunjung pada pesta tersebut dan orang ramai diminta untuk menari sebelum boleh menebus secawan air teh ais secara percuma.
Dikongsikan di laman Twitter, rakaman tular itu menerima lebih 15,000 jumlah tontonan setakat ini dan hangat diperkatakan warganet.
Lebih memalukan, seorang wanita berusia berstatus mak cik turut kelihatan dalam tarian tersebut sehingga sanggup menepis tangan kanak-kanak dipercayai cucunya.
Perbuatan itu sekali gus mengundang pelbagai kecaman serta tohmahan daripada warganet.
Azmil Husain berpendapat, situasi itu cukup memalukan kaum wanita kerana maruah mereka lebih bernilai daripada air tersebut.
"Memalukan wanita, baru bagi air percuma dah lalai sampai sanggup buat perkara terkutuk macam itu, maruah mereka lebih mahal daripada air teh ais," ujarnya.
"Ya ALLAH, ingat mati la mak cik, kesian dekat cucu dia pun ada perasaan walaupun masih kanak-kanak, mesti malu dengan kelakuan nenek dia," kata Hamidi PIDI.
"Golongan wanita sekarang memang macam ini ke, sanggup buat apa sahaja demi makanan dan trend, hilang maruah malu ibu bapa yang melahirkan," tambah Noor Akmar.
Dalam pada itu, pemilik premis niaga itu telah memuat naik video permohonan maaf di laman TikTok peribadinya berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, perkara itu dilakukan hanya semata-mata bagi mempromosikan perniagaannya pada pesta tersebut dan tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak.
Difahamkan, tiada sebarang kenyataan polis dilaporkan berhubung kejadian itu dan pesta tersebut masih berlangsung hingga 31 Disember ini.
Pihak kerajaan negeri dan penganjur juga belum memberikan respons berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram