MEMASUKI peringkat suku akhir aksi bola sepak kempen Piala Dunia Qatar 2022, peminat di seluruh dunia kini seakan dirasuk wabak 'demam bola' apabila mempamerkan semangat luar biasa dan sanggup berjaga sehingga ke lewat malam dan awal pagi bagi menyaksikan perlawanan secara langsung.
Meskipun bukan semua negara yang layak ke piala berprestij empat tahun sekali tersebut, namun ia merupakan satu kepuasan sekiranya pasukan yang digemari berjaya meraih kemenangan.
Namun, bagi pasukan yang tewas pula, ia boleh mengundang kemarahan jika ada pihak yang melakukan provokasi melampau dan terlalu fanatik dengan keputusan perlawanan.
Percaya atau tidak, situasi itu boleh digambarkan menerusi pergaduhan yang berlaku apabila dua penyokong bola sepak saling berbalas tumbukan di sebuah restoran di Sabah pada Selasa sebelum video itu mula tular di media sosial.
Kejadian itu difahamkan terjadi susulan pasukan Sepanyol tewas kepada pasukan Maghribi dalam penentuan sepakan penalti yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan dari benua Afrika Utara tersebut.
Susulan kemenangan itu, seorang lelaki dipercayai penyokong Maghribi dikatakan melakukan provokasi terhadap rakan di sebelahnya apabila mentertawakan dan mengetuk kepalanya dengan botol.
Gagal mengawal kemarahan, rakannya yang dipercayai penyokong Sepanyol kemudiannya membalas pukulan itu dengan menumbuk dan menolak lelaki terbabit ketika kejadian.
Situasi bertambah serius apabila kedua-dua lelaki tersebut saling berbalas tumbukan dan menggunakan meja sebagai senjata.
Tersentak dengan insiden berkenaan, perselisihan faham itu kemudiannya diredakan oleh beberapa orang awam yang berada di situ.
Menjengah ke ruangan komen, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet.
"Kerana sebiji bola yang kecil, boleh buat orang bergaduh besar, memalukan betul lebih baik pergi tengok rancangan kartun kalau berperangai macam budak-budak," kata Anthony C Lim.
"Ini mesti penyokong pasukan berlainan tapi duduk semeja, kawan pula sejenis yang suka mengejek memang mendapat la kalau melampau sangat, dah kena pukul padan muka," jelas Fadhil Waynie.
"Memang melampau sangat la, kalau ya pun suka jangan sampai pukul kepala, nasib dia baik ada orang tahan kalau tidak mesti menggelupur masuk wad ICU," tambah Muhammad Azmi MadRus.
Namun, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam dan difahamkan tiada sebarang kecederaan serius berlaku dalam kejadian tersebut, selain kedua-dua lelaki terbabit juga difahamkan tidak membuat repot polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram