TINDAKAN biadab seorang pemandu lori treler yang menunjukkan isyarat jari lucah kepada seorang pemandu di Lebuh Raya Plus Utara-Selatan menghala ke utara pada Isnin, mengundang kemarahan orang ramai.
Kejadian itu difahamkan berlaku susulan tindakan pemandu lori tersebut secara mengejut bertukar lorong ke kanan laluan terbabit.
Meskipun kereta tersebut sudah hampir separuh melepasi badan lori tersebut, pemandu lori itu dilihat terus meluru masuk ke lorong kanan sambil menunjukkan jari tengah kepada mangsa.
Perbuatan itu sekali gus mengundang kemarahan mangsa yang mendakwa ia merupakan satu kesalahan bagi kenderaan muatan berat untuk memandu di lorong kanan.
Dikongsikan di laman Facebook, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet.
Lebih mencuri perhatian, suspek dikatakan sengaja mempamerkan aksi lagak samseng apabila sanggup membuka pintu kenderaan semata-mata mahu meluahkan kemarahannya.
Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa difahamkan menekan hon berulang kali ketika kejadian bagi memberikan amaran kepada pemandu biadab tersebut.
Susulan itu, suspek kemudiannnya meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan situasi berkenaan dan kekal memandu di lorong kanan.
Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam pemandu lori itu.
“Kalau berdasarkan pengalaman saya, lori itu memang bersalah kerana bagi isyarat membelok bukan bermakna boleh terus tukar lorong, cuma sebagai pemandu kereta mengalah lebih baik daripada ambil risiko,” kata Idderes MH.
“Lori treler kalau atas lebuh raya memang macam ini perangai, minggu lepas aku pun pernah kena himpit nasib baik sempat brek kecemasan,” jelas Hanif Ismail.
“Saya pun pernah kena macam ini, sudah la jalan sesak dia pulak main masuk lorong kanan, bila dah masuk baru bagi lampu isyarat, bila kita hon dia pandang serong memang nak membunuh betul,” tambah Noor Juliana.
Difahamkan, mangsa akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan nombor pendaftaran kenderaan serta rakaman dashcam akan dijadikan sebagai bahan bukti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram