SEORANG wanita melalui detik cemas apabila tiba-tiba dimaki dengan kata-kata kesat oleh seorang pemandu lelaki yang mengekorinya dari belakang ketika memandu di sebuah jalan raya dekat Subang, Selangor pada Rabu.
Kejadian itu difahamkan berlaku susulan salah faham berlaku antara kedua individu tersebut ketika mangsa ingin menukar ke lorong kanan di laluan berkenaan.
Meskipun sudah memberikan lampu isyarat membelok, situasi itu mencetuskan kemarahan pemandu di belakang apabila mendakwa dirinya hampir berlanggar dalam kejadian tersebut.
Tersentak dengan insiden itu, lelaki terbabit kemudiannya menyalakan lampu suluh tinggi (high beam) lalu mengekori rapat kenderaan mangsa dari belakang dalam tempoh yang agak lama.
Setibanya di simpang lampu isyarat merah, lelaki terbabit kemudiannya terus mencerca dan menengking mangsa susulan kejadian tersebut.
Dikongsikan di laman TikTok, rakaman tular itu hangat diperkatakan dan menerima lebih 24,000 jumlah tontonan setakat ini.
Meskipun wanita berkenaan sudah berulang kali memohon maaf, lelaki itu masih berdegil dan enggan mengalah, sebaliknya terus memberikan ugutan selain kata-kata kesat terhadapnya.
"Macam mana awak memandu, saya hampir berlanggar tadi, jangan jadi bodoh!" ujar lelaki itu dalam video tersebut.
Menurut mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai eyerish, 22, lampu isyarat membelok sudah dinyalakan ketika kejadian dan lelaki terbabit dikatakan sengaja enggan memberikan ruang buatnya.
"Masa tu saya dah bagi lampu isyarat membelok sebelum tukar lorong, tapi dia sengaja tekan minyak dan ikut rapat bila saya nak masuk.
"Dia ikut saya dari Subang dan cucuk rapat kereta saya sampai ke Petaling Jaya sedangkan dalam kereta saya ada anak yang masih kecil," katanya kepada Majoriti.
Selepas beberapa kali memohon maaf, lelaki berkenaan kemudiannya beredar dan meninggalkan insiden tersebut dengan reaksi marah.
Di ruangan komen, rata-rata warganet kesal dengan tindakan lelaki terbabit.
"Rasanya cukup je kalau dia marah dan bagitau apa kesalahan perempuan itu, selain daripada panggil dia bodoh dan ugut bukan-bukan, sepatutnya tak perlu pun," kata Naddy.
"Dia suluh lampu tinggi itu dikira biadab sangat dah, orang dah minta maaf cukup la kenapa nak biadab sangat aku tak faham betul la orang sekarang," jelas Nabila.
"Kesimpulannya, perempuan mana pernah salah, tapi aku puji la dia berani minta maaf kalau perempuan lain mesti dah cabut," kata Amirul Zaki.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan mangsa difahamkan tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram